IPOH: Umat Islam hendaklah bersedia malah wajib melakukan penghijrahan minda dan budaya agar berupaya memahami dan mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, umat Islam juga harus bertenaga untuk menangani dan menguasai situasi semasa, terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.
Baginda bertitah, ini kerana cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda, perubahan budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa namun tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar.
Titah baginda, penghijrahan minda memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan dan zon keselesaan.
“Penghijrahan minda memerlukan minda yang berani menerokai pengetahuan baharu, kemahiran baharu, medium baharu dan kaedah baharu, dirintis selari dengan keperluan zaman.
“Penghijrahan minda memerlukan minda yang dahagakan kemajuan, minda bijaksana, minda yang rasional, minda merdeka yang tidak berjiwa hamba, dan minda yang tidak gentar pada perubahan.
“Penghijrahan budaya merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang, budaya lapuk, digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, mengamalkan disiplin, memiliki maruah dan harga diri, bersifat amanah, jujur, ikhlas bertunjangkan prinsip dan nilai Islam.
“Penghijrahan adalah suatu jihad dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah akan memperoleh kejayaan dan kemudahan-kemudahan hidup yang lebih baik,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat negeri Perak di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Sultan Nazrin bertitah, peristiwa hijrah jangan ditafsirkan secara harfiah, dibatasi kepada peristiwa pergerakan fizikal Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.
Baginda bertitah, pergerakan fizikal tersebut merupakan satu babak kepada tuntutan melakukan ‘hijrah’ yang lebih besar dalam hasrat dan usaha mengembangkan risalah Islam.
“Sesungguhnya falsafah hijrah yang tersirat itu lebih besar daripada peristiwa hijrah yang tersurat.
“Ummah perlu melihat hijrah dengan tafsiran yang luas, dengan lensa yang berupaya merungkaikan hikmah secara keseluruhan.
“Umat Islam perlu menghayati semangat yang tersirat di samping yang tersurat bahawa manusia itu diperlukan melakukan penghijrahan yang lebih luas, lebih menyeluruh, sepanjang masa, sepanjang zaman,” titah baginda. – UTUSAN