Ubatan berasaskan herba perlu dimartabat

Ubatan berasaskan herba perlu dimartabat

herba
Prof. Dr. Fadzilah menyampaikan syarahan berkaitan ubatan berasaskan herba yang berpotensi merawat penyakit di Universiti Malaysia Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kepentingan tumbuhan herba tidak dapat dinafikan lagi, malah kewujudan ubat-ubatan berasaskan herba telah digunakan oleh manusia sejak ribuan tahun dahulu.

Sumbangan tumbuhan herba dimanfaatkan dalam pelbagai aspek penjagaan kesihatan dan perubatan khususnya digunakan sebagai makanan dan haruman.

Malah industri herba negara turut diklasifikasikan sebagai komoditi pertanian oleh kerajaan Malaysia dan menganggarkan industri itu bernilai lebih RM32 bilion dengan unjuran pengembangan sebanyak 15 peratus setahun.

Pakar herba di Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Fadzilah@Adibah Abdul Majid berkata, Malaysia kehilangan data berkaitan ubat-ubatan tradisional berasaskan herba kerana maklumat itu tidak pernah direkod.

“Kita tidak tahu sejak bila ubat-ubatan tradisional melayu atau nusantara mula digunakan dalam masyarakat dan siapa yang menggunakannya.

“Manusia generasi terdahulu pastinya mempunyai sistem perubatan tersendiri untuk terus hidup hingga ke generasi kini. Jika tidak, manusia tidak boleh ‘survive’. Tetapi, dimanakah ilmu perubatan alam melayu tradisional yang digunakan itu?” Katanya ketika  menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk ‘Ubatan Herba Bersandarkan Bukti’ yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, UMT.

Katanya, walaupun peredaran zaman telah menuju ke arah modenisasi, kira-kira 80 peratus penduduk dunia masih menggunakan ubatan berasaskan herba.

“Menyedari hakikat permintaan dan penggunaan ubatan herba yang masih meluas, pihak kerajaan telah memperkenalkan Akta Dadah 1952 dan Akta Perubatan 1971 bagi mengawal penyalahgunaan tumbuhan herba  tersebut”

Menurutnya, Malaysia merupakan bumi bertuah kerana mempunyai tanah yang subur serta kaya dengan kepelbagaian tumbuhan herba yang berpotensi untuk dijadikan ubat-ubatan dan produk makanan penjagaan kesihatan.

Mengulas lanjut, Dr. Fadzilah berkata mereka berjaya membangunkan produk berasaskan herba yang berpotensi melegakan kesakitan sendi.

“Kebanyakan golongan berusia lebih 40 tahun akan mengalami masalah kesakitan sendi dan juga keradangan.

“Kita berjaya hasilkan produk R-38 dengan hanya menggunakan herba terbaik serta melalui proses yang teliti untuk memastikan keaslian, kebersihan dan mutu produk ini.

“Antara herba ubatan yang terdapat dalam produk R-38 ialah lengkuas (Alpinia galangal), misai kucing (Orthosiphon stamineus) dan temulawak (Curcuma xanthorrhiza). Kesemua herba-herba ini telah dikaji secara saintifik sebagai herba untuk masalah sendi dan arthritis,” katanya.

Tambahnya, kajian yang dijalankan mendapati herba-herba itu mempunyai sifat antioksidan, anti radang, analgesik dan lain-lain berkaitan arthritis.

“Produk R-38 ini juga mendapati ianya bersifat antioksidan, anti keradangan, berupaya merencat penghasilan enzim Xanthine Oxidase (XO) yang boleh menyebabkan penurunan kandungan asid urik, merencat enzim Cyclooxygenase-2 (COX-2) yang mana akan mengurangkan keradangan dan rasa sakit”.

Ujarnya lagi, ekosistem ubatan berasaskan herba perlu dimartabatkan dengan penglibatan daripada pelbagai peringkat usia serta agensi bagi melahirkan generasi celik herba dan seterusnya menyumbang kepada taraf sosio ekonomi komuniti.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar menyifatkan penganjuran program syarahan perdana itu sebagai pentas terbaik bagi penyelidik untuk menyebarkan ilmu yang dimilki.

“Syarahan ini adalah sebagai satu landasan yang baik buat ahli akademik untuk berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dalam disiplin ilmu yang diceburi.

“Semoga ia dimanfaatkan oleh warga pensyarah, terutamanya para pensyarah muda dalam membudayakan aktiviti kelestarian ilmu, juga menjadikan medan ini sebagai penyuntik semangat untuk mencapai kecemerlangan dalam penerokaan lautan ilmu yang tidak bertepi dan sentiasa berkembang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya