KUALA LUMPUR: Juruhebah radio Suria FM, Tyzo membuat kejutan selepas merangkul trofi Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular 35 (ABP) sekali gus menewaskan penyandangnya, DJ Lin yang memenangi trofi tersebut selama empat kali berturut-turut.
Sebak dengan kemenangan itu, Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris berkata, dia langsung tidak menyangka sama sekali akan meraih anugerah itu selepas 25 tahun berkecimpung dalam industri penyiaran.
Katanya, trofi tersebut adalah simbolik hadiah buat arwah ibunya yang meninggal dunia, tahun lalu.
“Ini pertama kali saya hadir dan menerima jemputan dalam anugerah berprestij. Tahun lepas tercalon tetapi disebabkan pandemik hanya pemenang sahaja hadir.
“Saya tiada kelab peminat ikutkan boleh sahaja sebut di radio. Saya hanya bergantung bakat di radio dan pendengar Suria Petang banyak menyokong saya,” katanya.
Pada masa sama, Tyzo berkata, dia memohon maaf kepada Shartifah Shahira atau lebih mesra disapa Kak Rara kerana terlupa menyebut namanya semasa menerima trofi di pentas.
Baginya, Kak Rara adalah tulang belakang yang menjadi asbab dirinya berpeluang meraih anugerah tersebut.
“Kak Rara adalah gandingan terbaik saya. Harap dapat kekal lama dengan dia. Tanpa Kak Rara tak mungkin saya dapat genggam trofi ini.
“Saya pun tidak tahu berapa lama lagi mampu bertahan dalam industri ini. Umur pun makin meningkat, anak-anak muda juga makin ramai,” ulasnya.
Karier Tyzo sebagai juruhebah radio bermula di RTM dan pernah berkhidmat di stesen radio Muzik FM pada 16 Julai 2004. Selepas itu, hanya Suria FM satu-satunya radio swasta yang percaya dengan bakat dan kebolehannya.
Untuk rekod, DJ Lin meraih trofi Penyampai Radio Popular pada ABP 29 dan tiga edisi berturut-turut iaitu pada edisi ke-32, 33 & 34.