KUALA SELANGOR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru keluarga di negara ini memberi pendedahan kepada anak-anak tentang keadaan pantai akibat daripada kesan pembuangan plastik yang tidak dikitar semula.
Baginda bertitah, situasi sedemikian tidak sewajarnya berlaku apabila lokasi rekreasi atau peranginan seperti itu disediakan tempat pembuangan sampah termasuk tong-tong untuk mengasingkan bahan boleh dikitar semula.
“Jadi kita kena mendidik setiap dalam kalangan kita di sini. (Membuang secara merata dan tidak kitar semula) tidak patut dilakukan. Kita ada banyak tempat bakul sampah untuk plastik, botol. Anak-anak faham apa yang terjadi di pantai sekiranya kita buang plastik begitu sahaja.
“Pada hari ini juga pandu puteri malaysia mengadakan program ini di seluruh negara secara serentak. Dengan ada program seumpama ini ia dapat mendidik masyarakat akan kesan negatif penggunaan bahan tersebut terhadap ekosistem marin seiring dengan inisiatif bebas plastik,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Pembersihan Plastik di Pantai dan Sungai Kebangsaan 2023, hari ini.
Utusan Malaysia pada bulan lalu melaporkan kajian Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendapati hampir 600,000 tan metrik daripada purata 700,000 tan plastik setahun yang digunakan rakyat negara ini mencemarkan sungai dan lautan.
Keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada hidupan marin serta keseluruhan rantaian makanan, ini kerana partikel plastik bukan sahaja membahayakan hidupan di lautan, malah bahan kimia yang terdapat akan menyerap ke dalam tisu haiwan terbabit.
Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong yang juga Penaung Diraja Pandu Puteri turut mencadangkan Pandu Puteri negara ini menginovasikan bahan kitar semula itu sebagai produk yang boleh menjadi salah satu peluang perniagaan untuk diterokai.
“Pada tahun lepas saya melawat Chelsea Flower Show di England dan melihat pameran tenunan, hamparan beg, kusyen, selimut yang dibuat dengan mengambil semua botol plastik dicairkan bersama hampas padi dari India.
“Apabila dicarikan, ia menjadi benang dan ditenun menjadi karpet, beg, selimut dan ia boleh dikitar semula. Jadi saya dan tengku permaisuri hendak pungut semua plastik dan hendak buat bisnes baharu,” ujarnya. – UTUSAN