KEMAMAN: Lapan lagi individu membabitkan tujuh sekeluarga dan seorang bakal menantu keluarga itu masih lagi hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, setakat ini, dua mangsa dijumpai lemas iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anak keempatnya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, dari Felda Lepar Hilir, Pahang.
Mereka ditemukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari dan 5 petang semalam.
Hanyan berkata, lapan lagi mangsa lain yang dipercayai masih hilang iaitu suami mangsa, Karim Abdullah, 39, serta enam anaknya iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim,14; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziqah Ziqree Karim,6, dan Putri Aryana Umaira Karim yang berusia empat tahun.
Seorang lagi mangsa yang dipercayai hilang dan turut menyertai keluarga tersebut berkelah di jeram tersebut ialah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Salman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Hanyan berkata, kesemua mangsa dipercayai masuk ke kawasan hutan Air Putih berkenaan kira-kira pukul 2 petang untuk berkelah, sebelum kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 5 hingga 6 petang.
“Kita percaya motosikal jenis SYM yang dijumpai ditunggang Muhammad Fikri yang membonceng tunangnya, Putri Balqis Izzati sementara lapan lagi mangsa menaiki kereta Proton Gen2,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kemaman.
Menurutnya, hujan lebat yang berlaku di sebelah hulu menyebabkan kepala air berlaku.
Hanyan berkata, pihaknya percaya Karim yang merupakan pemandu jengkaut di Hutan Air Putih, mahir dengan selok belok kawasan tersebut sehingga membawa keluarganya menggunakan kereta di laluan yang agak sukar diakses dengan kenderaan biasa.
“Biasanya, kawasan tersebut hanya dikunjungi penduduk setempat yang mana lokasi perkelahan itu agak terpencil dan tiada talian telekomunikasi,” katanya.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan 10 sekeluarga dipercayai hilang dalam tragedi fenomena kepala air di Jeram Mawar, semalam. – UTUSAN