KEMAMAN: Tujuh lagi mangsa tragedi kepala air berdekatan Jeram Mawar, Air Purih di sini ditemukan lemas, setakat pukul 1 tengah hari ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, jumlah tersebut menjadikan mangsa yang terkorban dalam tragedi itu setakat ini seramai sembilan orang.
Bagaimanapun, Mazli berkata, setakat ini hanya tiga identiti mangsa telah dikenal pasti sementara bakinya iaitu enam lagi identiti mangsa belum disahkan.
“Mayat ketiga yang ditemukan ialah Muhammad Haziq Ziqree Karim,6, ditemui di kawasan sektor B pencarian iaitu di sungai berhampiran Kampung Teladas,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini, hari ini.
Mazli berkata, kesemua mangsa ditemui antara pukul 11 pagi tadi sehingga 1 tengah hari di sekitar 20 kilometer dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa ditemukan terapung dan ada yang tersangkut pada kayu serta tebing sungai,” katanya.
Mazli berkata usaha membawa keluar mayat dari lokasi ke Pusat Kawalan operasi sedang giat dilakukan.
Semalam, mayat dua mangsa, Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemui kira-kira pukul 12.45 dan 5 petang. – UTUSAN