Tuduhan tanpa bukti beri persepsi buruk penjawat awam - CUEPACS

Tuduhan tanpa bukti beri persepsi buruk penjawat awam – CUEPACS

ADNAN Mat meninjau operasi dan menyantuni penguat kuasa JIM di KLIA, Sepang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan tuduhan melulu tanpa bukti terhadap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilihat memberi persepsi buruk kepada perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya memandang serius tuduhan berat dilemparkan kepada JIM berkaitan budaya rasuah yang kononnya wujud dalam kalangan petugas di pintu masuk negara.

Beliau berkata, tuduhan tanpa bukti berasas itu dilihat sengaja dicetuskan bagi mengalih perhatian terhadap isu utama yang berlaku baru-baru ini melibatkan seorang individu berstatus menteri.

“Sekiranya benar wujudnya budaya rasuah seperti digambarkan, perkara itu sepatutnya dilaporkan dengan bukti jelas terus kepada Suruhanjaya Pencegarah Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tuduhan tanpa bukti atau asas ini hanya mengundang penghakiman awam oleh masyarakat yang hanya mengundang persepsi negatif kepada perkhidmatan awam,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni operasi penguatkuasa JIM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Katanya, CUEPACS bersolidariti sepenuhnya dengan JIM selagi mana tiada pelanggaran undang-undang dibuktikan oleh pihak berkuasa.

Adnan berkata, tiada isitlah ‘kebal’ terhadap mana-mana penjawat awam yang didapati melakukan kesalahan begitu juga pihak luar yang mencampuri urusan dalaman agensi kerajaan.

Menurutnya, CUEPACS turut menolak sekeras-kerasnya campur tangan pihak luar dalam urusan keselamatan negara yang digalas oleh JIM atau mana-mana agensi kerajaan.

“Campur tangan pihak luar ini boleh mendedahkan negara kepada risiko keselamatan dan semua pihak termasuk pegawai tertinggi kerajaan sepatutnya percaya pada setiap keputusan dibuat pihak berkuasa yang menjaga sempadan negara.

“Prosedur keselamatan yang ditetapkan jelas dan wajar dipatuhi tanpa melibatkan campur tangan dalam mengubah setiap keputusan yang telah diputuskan,” katanya.

Katanya, pihaknya turut mencadangkan agar kerajaan menyegerakan pelaksanaan pemakaian kamera badan kepada petugas di pintu masuk negara bagi meningkatkan pematuhan integriti serta keselamatan petugas itu sendiri.

Jelasnya lagi, dengan adanya kamera badan, pegawai akan sentiasa berada dalam keadaan sedar bahawa gerak geri mereka dirakam dan sentiasa bersikap professional dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab.

Malah, katanya, jika ada sebarang tohmahan mengenai pecah amanah atau salah laku seperti kes-kes yang tular sebelum ini, kita dapat lihat daripada klip rakaman kamera badan tersebut untuk mempermudahkan siasatan.

Selain itu, Adnan juga mahu sistem litar kamera tertutup (CCTV) di pintu masuk negara juga perlu ditambah baik supaya dapat berfungsi dengan lebih efisyen.

Pada masa sama, katanya, had maksimum bertugas atau sistem penggiliran atau pertukaran dalam kalangan kakitangan penguat kuasa amat wajar dilaksanakan bagi memastikan petugas tidak berasa terlalu selesa sekiranya bertugas terlalu lama di sesuatu unit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya