PADANG TERAP: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yakin dengan momentum sokongan rakyat terhadap kedua-dua gabungan itu di Kedah yang disaksikan sebelum proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sokongan positif rakyat termasuk di Pedu sekali gus memberi keyakinan kepada calon BN dan PH untuk kembali berkhidmat sebagai wakil rakyat di negeri itu.
“Nampak ada trend positif untuk BN dan Pakatan Harapan (PH) tidak hanya di Pedu malah seluruh Kedah. Saya fikir pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu boleh fikirkan sebaik-baiknya apa perkara yang mampu membawa kebaikan buat mereka.
“Pertimbangannya adalah kebaikan untuk masa depan dan bukan emosi yang pada akhirnya boleh memberi kesan kepada kehidupan masyarakat setempat. Saya fikir masyarakat di sini bijak untuk menilai.
“Saya bermula sebagai wakil rakyat di DUN Pedu dan pada masa itu saya merupakan calon bukan pilihan, juga bertanding melawan Pas. Kali ini situasinya hampir sama dan saya yakin pengundi akan memberi peluang untuk saya berkhidmat di sini, sekali lagi ” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon, di sini hari ini.
Dalam pertembungan dua penjuru di Pedu, Mahdzir mencabar penyandangnya, Mohd. Radzi Md. Amin daripada Perikatan Nasional (PN) yang menewaskan calon BN, Kama Noriah Ibrahim serta Hashim Idris daripada PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sementara itu, Mohd. Radzi daripada Pas berkata, beliau tidak gentar untuk berdepan dengan calon yang dianggap ‘heavyweight’ daripada pihak lawan.
Menurutnya, walaupun cuma menang dengan majoriti 670 undi pada 2014, beliau yakin akan terus mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal kedua buatnya.
“Insya-Allah kita akan cuba sedaya upaya kerana saya yakin gerak kerja sepanjang sepenggal di sini telah memenangi hati pengundi di DUN Pedu. Rakyat terutamanya masyarakat kampung bukan mahu mengkayakan diri sendiri sebaliknya mereka mahu hidup dalam keadaan aman damai.
“Kita yakin mampu menang namun tak boleh nak dedahkan strategi parti. Pada 2018, majoritinya sikit kerana BN ketika itu kuat tetapi kali ini dengan momentum masyarakat di seluruh negara yang dilihat menyebelahi PN, kita yakin dapat menang,” katanya. –UTUSAN