REMBAU: Nestlé (Malaysia) Bhd. hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila berkongsikan rahsia resipi Milo yang menjadi minuman kegemaran rakyat sejak lebih 70 tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, Milo telah melancarkan Trak Imersif 360° Milo Goodness yang pertama di dunia, bertujuan untuk mendidik rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat mengenai kebaikan bahan-bahan semula jadi yang terdapat di dalam setiap cawan harian Milo.
Menurutnya, dengan campuran unik malt barli, susu, koko, serta kombinasi enam vitamin dan tiga mineral, Milo telah menjadi minuman malt coklat kesayangan negara.
“Trak Milo Goodness akan mendedahkan rahsia di sebalik minuman ikonik tersebut dan mempamerkan kebaikan nutrisinya.
“Sebagai sebuah jenama yang amat dihargai oleh rakyat Malaysia sejak 70 tahun dahulu, saya begitu teruja untuk membawa misi ini ke jalanan melalui jelajah Trak Milo Goodness yang akan menjawab soalan paling utama, iaitu bagaimanakah Milo dihasilkan?
“Melalui inisiatif ikonik ini, kami membawa khasiat, kegembiraan, dan tenaga kepada setiap komuniti dengan seteguk Milo pada satu masa,” katanya pada Majlis Pelancaran Trak Imersif 360° Milo Goodness di Kilang Nestle, di sini, semalam.
Yang Turut hadir, Pegawai Eksekutif Perniagaan, Milo Malaysia dan Singapura, Ng Su Yen, Ketua Teknikal dan Pengeluaran, Alessandro Monica dan Pengurus Kilang, Kompleks Nestle Chembong (Malaysia) Berhad, Thomas Mettler.
Trak Milo Goodness ini adalah lain daripada yang lain kerana ia memberikan pengalaman 360° sepenuhnya kepada pengunjung.
Penggunaan unjuran digital, cahaya atmosfera dan efek bunyi-bunyian merenjat setiap deria lantas membawa pengunjung ke dalam ‘dunia’ Milo.-UTUSAN.