Tragedi kepala air: Pasukan penyelamat ditempatkan di hulu jeram  - Utusan Malaysia

Tragedi kepala air: Pasukan penyelamat ditempatkan di hulu jeram 

SEBAHAGIAN anggota bomba yang menyertai SAR mangsa kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Satu pasukan penyelamat digerakkan di hulu jeram bagi memantau keselamatan anggota yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR)  mencari dua lagi mangsa kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, pasukan yang diketuai seorang pegawai dan 10 anggota itu diletakkan di kawasan jeram berikutan kawasan itu berisiko untuk berlaku kembali kejadian kepala air. 

“Pasukan pemantau ini akan memberi isyarat dengan membunyikan siren yang panjang sekiranya berlaku apa-apa kejadian tidak diingini seperti kepala air, sebagai isyarat kecemasan kepada pasukan penyelamat lain. 

“Cuaca hari ini sedikit hujan dan kita tidak tahu cuaca di kawasan hulu hujan lebat atau tidak, jadi ianya akan dipantau oleh pasukan ini kerana kita juga mahu memastikan keselamatan pasukan penyelamat diutamakan,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini, hari ini. 

Azman berkata, selain cuaca yang tidak menentu, pasukan keselamatan yang bertugas di sektor A iaitu di lokasi kejadian, juga berdepan dengan risiko binatang buas berikutan kawasan tersebut berdekatan hutan simpan. 

“Kita difahamkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kawasan itu terdapat haiwan liar seperti harimau, gajah dan beruang, jadi kita akan sentiasa berhati-hati,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.

Setakat pukul 1 tengah hari ini, lapan mangsa telah ditemui sejak hari Ahad lalu. 

Lapan mangsa yang ditemui ialah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemui pada Selasa.

Dua lagi mangsa yang masih belum, ditemui ialah Putri Nur Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya