Titah Sultan Nazrin ditularkan semula untuk raih undi - Utusan Malaysia

Titah Sultan Nazrin ditularkan semula untuk raih undi

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dewan Negara Perak percaya ada pihak yang memetik titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun 2013 yang ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong parti Pas dalam suasana menjelang pilihan raya di enam buah negeri pada 12 Ogos ini.

Ahli Dewan Negara Perak, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, ini berikutan satu video ditularkan oleh seorang wanita yang memuat naik satu bahagian kecil titah Raja Nazrin Shah yang dizahirkan pada tahun 2013 di Dewan Bahasa dan Pustaka yang menyentuh mengenai Pas.

Menurutnya, cara klip video itu diolah telah mengaitkan dan mengheret secara langsung atau tidak langsung kedudukan seorang raja pemerintah untuk tujuan politik.

Beliau berkata, video tersebut memuat naik sebahagian kecil titah Raja Nazrin Shah yang ketika itu Pemangku Raja Perak yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 dalam Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bertema ‘Perpaduan Ummah, Harapan, Realiti dan Cabaran’.

“Dalam wacana tersebut, baginda menzahirkan analisis melibatkan dua buah parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan Pas yang merupakan dua kuasa politik Melayu yang dominan ketika itu.

“Baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap Pas (pada tahun 2013) tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO.

“Titah baginda mengandungi 7,400 patah perkataan dan mengambil masa 90 minit semasa dizahirkan.

“Bahagian yang memuji parti Pas hanyalah petikan pendek, begitu juga pujian terhadap UMNO. Untuk itu, tidak timbul bahawa baginda hanya memandang tinggi mengenai parti Pas,” katanya dalam kenyatan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mohd. Zahidi berkata, malah kandungan titah tersebut sarat menghuraikan sejarah kedua-dua parti Melayu tersebut dan demi kebaikan bangsa dan negara, pentingnya untuk ummah mencari jalan menjalin persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik yang berbeza.

Menurutnya, baginda memberikan ulasan seimbang antara dua buah parti politik Melayu tersebut dan turut menzahirkan peringatan kepada kedua-dua pihak agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecahbelahkan bangsa dan memusnahkan negara.

“Adalah dipercayai ada pihak memilih memetik titah Sultan Nazrin pada tahun 2013 untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong parti Pas dalam suasana menjelang pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata, demi melindungi nama baik Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk meraih laba politik, Pejabat Sultan Perak telah membuat laporan polis pada 29 Julai.

Menurutnya, melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, ditegaskan bahawa Sultan Perak tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik.

“Perbuatan menularkan video yang berkaitan sangat tidak beretika dan perbuatan itu disifatkan tidak sopan kepada seorang raja pemerintah dan telah mencemarkan nama baik takhta.

“Oleh itu, penularan video yang berkaitan wajib dihentikan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya