PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, mana-mana pegawai Imigresen yang didapati masih mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa perlu dikenakan tindakan segera dan tegas.
Perdana Menteri berkata, kelompok kecil itu yang masih berasa selesa dengan cara lama tidak boleh menjejaskan keseluruhan kerjaya, imej jabatan penjawat awam dan negara keseluruhannya.
Beliau yang berkesempatan meninjau di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) semalam bagi melihat pengoperasian kemasukan warga luar ke negara ini, bagaimapun mengakui semua kaunter berfunsi dengan baik dan kakitangan imigresen menjalankan tugas dengan baik.
“Tetapi kita sedar dan sering ditekankan ada kumpulan kecil yang masih biasa dengan sistem dan amalan lama. Saya percaya hal itu bidang kuasa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk bertindak.
“Maka tidak wajar kita memberi gambaran persepsi umum bahawa ada kerosakan dalam imigresen.
“Sebab itu saya pergi dengan merumuskan untuk mempertahan integriti dan kewibawaan Jabatan imigresen keseluruhannya tetapi masih menekankan supaya beberapa kelompok kecil yang masih merasa selesa cara lama harus bertindak segera dan keras kerana perkara yang berlaku menjejaskan kerjaya kita, imej jabatan penjawat awam dan negara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bulan Julai, di sini hari ini. – UTUSAN