GOMBAK: Platform media sosial seperti TikTok dan Meta bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan bagi membantu memastikan undang-undang negara dihormati dan tiada pelanggaran sepanjang tempoh berkempen enam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menjangkakan platform media sosial menjadi lebih rancak terutama menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini.
Justeru, katanya, pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dirancakkan sepanjang tempoh berkempen PRN.
“Tempoh hari saya mengadakan mesyuarat bersama Ketua Polis Negara untuk melihat apa yang perlu dilakukan bagi memantapkan pasukan pemantauan terutama isu 3R (isu agama, raja dan kaum) dan beberapa perkara telah dipersetujui dan dilaksanakan pada kadar segera.
“Kalau kita ambil pengajaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jumlah kandungan dimuat naik sangat besar jumlahnya dan mungkin agak sukar untuk dipantau satu jumlah yang kecil.
“Tapi pada masa sama kita telah mendapat kerjasama platform seperti TikTok dan Meta, mereka sedia membantu memastikan undang-undang negara kita dihormati dan tiada pelanggaran sepanjang tempoh berkempen,” katanya kepada pemberita di SMK Sungai Pusu di sini.
Beliau berkata demikian selepas hadir bagi memberi sokongan kepada calon parti kerajaan yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Gombak.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau percaya garis panduan komuniti yang ada pada setiap platform media sosial akan secara automatik diaktifkan apabila berlaku pelanggaran atau aduan dibuat oleh orang ramai.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang memantau atau mengikuti tempoh berkempen ini membuat laporan di platform terbabit sekiranya mereka mendapati apa yang disebut secara dalam talian itu melanggar undang-undang atau menimbul kegusaran.
Malah, katanya, mereka boleh membuat laporan polis untuk tindakan lanjut sekiranya perlu.
“Saya dapat aduan orang menuduh saya menutup akaun mereka tapi sebenarnya saya tiada kaitan, dilakukan contoh TikTok itu sendiri atau Facebook.
“(Malah), akaun TikTok Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh telah digantung selama 10 tahun, bukan oleh saya tapi TikTok itu sendiri.
“Jadi bila Datuk Seri Mohammad Sanusi Md. Nor (Menteri Besar Kedah) menuduh kerajaan telah menutup akaun TikTok, bukan, Tik Tok sendiri lakukan,” jelasnya.
Sementara itu Fahmi menjelaskan, media bebas menggunakan platform masing-masing sepanjang tempoh berkempen selain mengadakan debat yang memang digalakkan.
Namun, katanya, tahap debat itu perlu supaya ia bukan hanya platform untuk melempar tomahan atau ejek mengejek.
“Bagi saya sebagai sebuah negara mengamalkan demokrasi, kita mesti mempraktikkan politik matang termasuk dengan amalan debat.
“Saya percaya banyak platform sedia untuk mengadakannya, terpulang kepada calon sama ada mereka sedia untuk debat atau tidak,” katanya.
Dalam masa sama beliau mengingatkan calon dan penyokong untuk berkempen secara sihat dan mengelakkan fitnah serta elak menggunakan elemen 3R untuk berkempen.
“Kita tahu kita sedar kita ada hak berpolitik dan ini adalah demokrasi, tapi pada masa sama kita ada undang-undang-undang dan adab tatasusila,” katanya. – UTUSAN