PETALING JAYA: Walaupun hanya berbaki beberapa jam sahaja lagi, media sosial dibanjiri dengan penjual tiket konsert band rock popular England, Muse, yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Menerusi tinjauan dalam Twitter, beberapa pengguna media sosial dilihat mula menjual tiket dengan harga lebih murah daripada harga asal.
Antaranya, seorang peminat yang menawarkan harga tiket RM300 berbanding harga asal RM370 bagi Standing Zon C.
Peminat lain pula menawarkan tiket RM250 bagi zon sama. Ada juga menawarkan dua tiket RM500 bagi zon sama.
Dalam masa sama, ada juga menawarkan harga dua tiket berjumlah RM650 bagi Zon A berbanding harga asal RM954.
Bagaimanapun, hasil semakan di laman sesawang ticket2u mendapati kesemua tiket tersebut sudah habis dijual.
Media sosial juga dibanjiri dengan tanda pagar #MuseLiveInKL, selain beberapa peminat yang sanggup tiba awal semata-mata ingin menyaksikan konsert malam ini.
Muse yang popular menerusi lagu Supermassive Black Hole, Starlight dan Time Is Running Out itu pernah mengadakan konsert sulung di Stadium Negara pada 2007.
Kali terakhir kumpulan dianggotai oleh Matthew Bellamy, Chrisopher Wolstenholme dan Dominic Howard itu mengadakan persembahan di Asia pada 2019, menerusi acara Singapore Grand Prix yang juga sebahagian daripada siri jelajah Konsert Simulation Theory.