KUALA LUMPUR: Belum sampai tempoh 24 jam dibuka untuk jualan, tiket konsert Rockmantic Night Judika & The Gang yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 21 Oktober nanti hampir laris terjual.
Hasil pemerhatian dalam laman web ticket2u, hanya tiket di bahagian VIP berharga RM799 dan VIP Rock Zone Standing (RM348) yang masih dibuka untuk jualan, manakala tiket di bahagian lain habis disambar peminat.
Melihat respons luar biasa itu, Judika ternyata teruja dan berterima kasih atas sokongan tidak berbelah-bahagi peminat yang menyokong perjalanan karier seninya selama ini.
“Saya sangat bersyukur dan berharap konsert nanti berjalan lancar serta peminat dapat menikmati karya terbaik saya. Semoga ia bakal menjadi sebuah memori yang tidak akan dilupakan.
“Saya memilih untuk mengadakan konsert di Malaysia kerana ramai peminat yang bertanya dalam media sosial bila agaknya saya akan datang lagi untuk menghiburkan mereka semua setelah sekian lamanya,” katanya semasa sidang akhbar di Pavilion, di sini, kelmarin.
Konsert yang dibawakan khas oleh jenama kosmetik, Alha Alfa dengan kerjasama Kharisma Music International dan Dua Anak Deo Management turut menampilkan tiga artis tempatan iaitu Shila Amzah, Marsha Milan Londoh dan Haqiem Rusli.
Ditanya pemilihan artis tersebut, Judika mengakui kesemua barisan artis yang dipilih untuk sepentas bersamanya adalah berdasarkan persetujuan daripada dirinya sendiri.
“Aku pilih berdasarkan konsep untuk konsert ini yang mesti ada gabungan artis lelaki dan perempuan. Kalau Sheila saya sudah lama kenal, Haqiem pula pernah bekerjasam pada 2017.
“Marsha pula adalah kali pertama akan berkolaborasi bersama. Sememangnya aku melihat perkembangan muzik di Malaysia dan pemilihan artis ini juga melihat kepada kekuatan suara mereka,” katanya.
Dianggarkan lebih 15 lagu bakal dipersembahkan pada malam konsert yang berdurasi dalam tempoh dua jam dengan iringan orkestra di bawah pimpinan Pengarah Muzik tersohor Indonesia, Tohpati.