BATU PAHAT: Tiga warga Myanmar ditemukan maut dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza akibat lemas kerana tidur dengan pendingin hawa yang berfungsi dalam masa lama di Hentian Rehat Yong Peng arah selatan, di sini malam kelmarin.
Mangsa merupakan dua lelaki, Zaw Naing Oo, 23, dan Myo Htet, 25, serta seorang wanita, Khin Mar Yee, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Taman Air Biru, Pasir Gudang.
Menurutnya, mereka menggunakan kereta Perodua Alza yang dipinjam daripada seorang rakan di Johor Bahru dan dipercayai berhenti rehat serta tidur dalam kereta kerana keletihan.
“Hasil temu bual dengan beberapa saksi, kereta mangsa didapati telah diletakkan dalam tempoh yang agak lama di Hentian Rehat Yong Peng itu. Mangsa didapati tidak bergerak, namun enjin kereta dihidupkan manakala tingkap tertutup rapat serta pintu dalam keadaan berkunci,” katanya.
Jelasnya, apabila mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas selepas cermin tingkap kenderaan diketuk dan dipanggil dari luar, orang awam terpaksa memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu untuk membuka pintu kereta bagi memberikan bantuan.
Katanya, selepas pintu berjaya dibuka, kesemua mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan oleh pasukan perubatan mendapati ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” jelasnya.
Mayat kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penguasa Bomba Kanan II Suhairulair Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada pukul 8.59 malam dan menghantar enam anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke tempat kejadian.
Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kesemua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam. – UTUSAN