IA bukan mengenai destinasi tetapi perjalanan. Hari ini genap tiga tahun perjalanan Utusan Malaysia dilancarkan semula bersama akhbar kembar Kosmo!. Tempoh 1,095 hari nampak panjang tetapi ia berlalu seperti sekelip mata.
Sepanjang jangka masa itu negara menyaksikan tiga perdana menteri menerajui Malaysia, bencana kesihatan Covid-19 meragut 36,387 nyawa, lockdown seluruh negara, ekonomi merudum, ribuan kehilangan pekerjaan, bekas perdana menteri dipenjarakan, banjir besar Selangor, dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) antara beberapa episod yang mewarnai dada akhbar ini.
Sedar atau tidak Utusan Malaysia telah kembali berada ke pasaran selepas episod gelap membadai syarikat asal. Apa yang pasti kegemilangan lampau yang menjadi sandaran dan kebanggaan tidak memastikan kelangsungan sesuatu produk atau syarikat.
Polaroid, Kodak dan Toys “R” Us dikuburkan walaupun mereka gergasi bidang masing-masing. Nasib sama menjengah akhbar ini lebih 46 bulan lalu. Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) mewarisi permit dan jenama akhbar yang dikatakan sohor dan ternama.
Ramai lupa ketika dinoktahkan hayatnya, ia disisihkan sebahagian besar pembaca kerana terasa terhina dengan apa dianggap pembohongan dan mempertahankan sesuatu yang salah.
Pemilikan oleh parti politik dengan tiga juta ahli tidak membantu memastikan akhbar ini relevan. Hanya laungan supaya akhbar ini mempertahankan pemilik silam. Laungan kosong. Jika 10% anggotanya membeli akhbar ini, edarannya harus mencapai 300,000. Ketika ini, untuk mencapai satu peratus seperti mengemis di kawasan setinggan.
Untuk membawa pembaharuan sejati, kita tidak mahu terperangkap dalam emosi sentimental silam. Kadangkala lebih bagi merobohkan semua yang lalu. Rumah yang asasnya dipenuhi anai-anai tidak mungkin kukuh sebaik mana ia dicat atau diganti bumbung.
Media Mulia membina semula Utusan Malaysia daripada abu keruntuhan itu. Tiga tahun ini digunakan bagi memahat keyakinan pembaca. Sehingga tahap tertentu Utusan Malaysia telah berjaya tetapi ia adalah satu proses yang panjang.
Akhbar ini telah memaparkan pelbagai isu, masalah kekurangan sekolah, pencemaran alam sekitar, perbicaraan bekas perdana menteri, kartel ayam dan telur, nasib doktor kontrak, dan pelbagai isu yang membelenggu masyarakat dan negara.
Kisah terbesar mungkin bagaimana satu pusat sembelihan di Australia yang ada status halal disiasat berikutan salah laku proses penyembelihan. Pusat itu akhirnya terpaksa ditutup, diaudit semula dan akhirnya tunduk untuk mematuhi peraturan ditetapkan badan agama negara ini.
HARTA INTELEK
Laporan berterusan isu ini menyelamatkan jutaan umat Islam negara ini dan puluhan juta rakyat lagi di negara lain daripada menjamah daging yang disyaki status halalnya. Itu kejayaan kewartawanan Utusan Malaysia menerusi tema Pemikiran Baharu.
Pemberitaan juga bukan mengenai kaum, agenda, puak atau golongan tertentu. Ia mengenai akhbar sebagai penjana dan medan perbincangan, menyusuri isu yang dekat kepada hati rakyat, dan memartabatkan bahasa Melayu. Ia juga mengenai apa yang penting dan golongan paling terbesar.
Apabila majoriti rakyat merasainya ia adalah berita. Dalam Minda Pengarang pertama akhbar ini 36 bulan lalu, penulis menyatakan matlamat utama ialah mengembalikan keyakinan pembaca, menjadi penyebar maklumat yang boleh dipercayai dan mencetuskan percambahan idea.
“Kebertanggungjawaban menjadi panduan dalam setiap laporan. Kredibiliti menjadi tonggak operasi. Masyarakat hari ini menghendaki laporan yang objektif, tepat, benar dan adil sama ada daripada aspek politik, sosial dan ekonomi. Iltizam kami untuk membangunkan akhbar nasional yang membawa aspirasi setiap rakyat Malaysia.”
Minda Pengarang ini mendapat liputan termasuk akhbar di Singapura. Tetapi komen-komen di satu portal berita popular jelas menunjukkan kebencian terhadap akhbar ini. Kebanyakan komen mengharapkan akhbar ini akan terkubur semula secepat mungkin. Penulis masih dan akan ingat semua komen berkenaan.
Hari ini, portal sama sudah mengambil ratusan laporan berita Utusan Malaysia untuk disiarkan semula. Walaupun diberikan kredit sumber Utusan Malaysia, tiada link back pada artikel asal. Itu standard kewartawanan di Malaysia. Di Barat ia menjadi amalan untuk memberikan link back pada artikel asal. Di sini kita ada lebih ramai “pakar Ctrl+C dan Ctrl+V”. Bidang ini bukan hanya mengenai kewartawanan berkualiti tetapi mengiktiraf harta intelek orang lain.
Industri media dan akhbar juga masih bergelut mencari tapak untuk maju. Cukup kisah ledakan digital. Kandungan adalah milik syarikat media tetapi sebahagian besar pendapatan iklan milik platform seperti Google, Facebook dan YouTube.
Adakah kita ada kehendak politik untuk mengembalikan apa yang sememangnya hak penyedia kandungan tempatan seperti dilakukan di Australia, Perancis dan Sepanyol yang ada undang-undang mewajibkan gergasi teknologi membayar atau berkongsi pendapatan?
Tetapi apa yang lebih mendukacitakan ialah arahan supaya Utusan Malaysia tidak dilanggan agensi kerajaan dan institusi pendidikan selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14 pada 9 Mei 2018. Tiga tahun sudah berlalu dan keadaannya masih sama.
Bagaimana dalam persekitaran bebas, negara kapitalis yang sepatutnya melayan setiap perniagaan secara adil, satu akhbar dilarang dilanggan? Tidakkah tiga tahun cukup lama untuk menilai standard pemberitaan dibawa oleh Pemikiran Baharu.
Perjalanan akhbar ini masih jauh dan harus menjadi lebih jauh seperti semua akhbar tersohor dunia. Ia sebuah institusi yang mesti berubah mengikut kitaran masa dan zaman tetapi asasnya harus kekal kukuh. Kebanggaan harus dalam kejayaan, dalam memegang kepada prinsip dan kecemerlangan serta kerja keras tanpa henti. Selamat Ulang Tahun Ketiga Utusan Malaysia. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Kumpulan dan Pengarah Urusan Media Mulia Sdn. Bhd.