Tiga jari putus, Azmi hilang pendapatan - Utusan Malaysia

Tiga jari putus, Azmi hilang pendapatan

AZMI Salam menunjukkan jarinya yang terputus selepas terkena mesin pemotong kayu ketika ditemui di rumahnya di Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang lelaki hilang punca pendapatan apabila putus tiga jari kiri selepas terkena mesin pemotong kayu ketika bekerja di kilang kayu balak di kawasan perindustrian di sini, minggu lalu.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan Azmi Salam, 38, mengalami kecacatan kekal.

Azmi berkata, sebelum kejadian dia bersama seorang rakan sedang melakukan kerja memotong kayu menggunakan mesin.

Menurutnya, semasa sedang melakukan kerja itu dia tidak menyedari jarinya sudah terpotong disebabkan tidak mengalami kesakitan.

“Saya dibawa ke Hospital Gua Musang dan Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

“Kecederaan yang dialami ini menyebabkan saya perlu ke klinik untuk mencuci luka dan akan bertemu pakar tulang minggu depan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Ke­sedar Sejahtera di sini semalam.

Jelasnya, kece­deraan itu menyebabkan dia terpaksa berehat buat sementara waktu sekali gus menjejaskan pendapatan me­nyara keluarga.

Katanya, bagaimanapun dia perlu ‘melupakan’ kesakitan itu kerana terpaksa menghantar dan mengambil anak di sekolah kerana isteri tidak mahir me­nunggang motosikal.

“Saya terpaksa minta kebenaran doktor untuk keluar awal dari hospital kerana perlu me­nguruskan anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wangi 1.

“Sepanjang 20 tahun bekerja di beberapa kilang perindustrian di kawasan ini, saya tidak sangka kejadian ini akan berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, isteri Azmi, Suriati Mustapa, 29, berkata, dia reda dengan kejadian yang berlaku dan berharap suaminya cepat sembuh.

Katanya, keluarga sekarang terputus pendapatan dan tidak tahu bila suaminya dapat kembali bekerja.

“Kami selama ini bergantung kepada suami dengan pendapatan RM1,100 sebulan dan saya sendiri masih trauma untuk memandu kerana pernah terbabit kemalangan.

“Dalam keluarga hanya suami yang bekerja dan menyara keluarga kerana saya suri rumah sepenuh masa,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Azmi di talian 019-5608802 atau menerusi akaun BSN bernombor 0302041000086345. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya