KUALA LUMPUR: Kerajaan diberitahu supaya tidak perlu bimbang jika pemilihan ahli Dewan Negara di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dijalankan melalui undi.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemilihan ahli Dewan Negara secara undian termaktub di dalam Perkara 45(2) Perlembagaan Persekutuan membabitkan Pemilihan Ahli-Ahli Dewan Negara.
Dengan kaedah itu juga, beliau berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menambah bilangan ahli Dewan Negara mewakili DUN kepada tiga orang, supaya jumlahnya seimbang dengan ahli dewan yang dilantik melalui Yang di-Pertuan Agong.
“Atas keputusan kerajaan lah, kalau mahu undi pun, apa masalahnya? Sebab untuk menjadi wakil rakyat pun kena bertanding juga. Jadi, perkara sama jugalah yang perlu dilakukan untuk menjadi senator.
“Oleh itu, yang diundi di peringkat negeri boleh ditambah satu lagi kuota sebab sekarang ini Malaysia hanya ada maksimum 70 ahli Dewan Negara.
“Sedangkan, kalau di England, ‘House Of Lords’ satu ketika mereka ada sehingga 1,800 orang, sementara ‘House Of Commons’ ada 650 orang. Jadi, kena tambah juga jumlah ahli Dewan Negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis interaksi bersama media di Parlimen malam tadi.
Turur hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Pitchay dan ahli-ahli Dewan Negara.
Dalam sidang Dewan Rakyat pada Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan memperhalusi cadangan menambah ahli Dewan Negara mewakili DUN kepada tiga orang.
Dewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli.
Dewan Negara terbahagi kepada dua kategori iaitu 26 ahli yang dipilih oleh DUN sebagai mewakili 13 negeri, atau setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli.
Seramai 44 ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.
Jawatan itu hendaklah dipegang selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh disambung sebanyak satu penggal lagi, sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat negeri.
Ahli-ahli Dewan Negara dilantik atau dipilih dalam kalangan mereka yang menyumbang khidmat cemerlang atau mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing, dalam perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan.
Ini termasuk dalam kalangan perkhidmatan sosial atau merupakan wakil kumpulan bangsa minoriti atau berkebolehan menjaga kepentingan orang-orang asli. – UTUSAN