KANGAR: Keputusan MCA tidak bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri bulan depan
bukan disebabkan kecewa sebaliknya parti itu lebih fokus menguatkan parti seterusnya memberi tumpuan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, setiap ahli MCA perlu mengembleng tenaga bagi mencari pendekatan baharu mendampingi rakyat dan membantu Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan pada PRU16.
Katanya, beliau juga telah berkongsikan pandangan dan memaklumkan kepada setiap ahli parti berhubung keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Pusat MCA untuk tidak bertanding pada PRN kali ini.
“Keputusan dibuat itu adalah bagi memberi tumpuan pada PRU16 dan sebagai komponen BN, kita akan tetap membantu calon dari gabungan tersebut pada PRN,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan MCA Perlis di sini hari ini.
MCA dan MIC sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini bagi memberi tumpuan terhadap PRU16.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghormati keputusan itu dan menghargai pendirian ditunjukkan oleh kedua parti berkenaan.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, akar umbi MCA juga turut menerima baik keputusan dibuat parti itu berdasarkan daripada siri-siri penerangan yang dilaksanakan setakat ini.
“Perkara ini telah melalui proses yang panjang dan keputusan berkenaan dibuat hasil analisa berdasarkan apa yang telah dilalui oleh MCA sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, parti itu juga akan memberi keutamaan bagi melihat semula kekuatan dan kelemahan mereka di samping mencari strategi baharu dalam PRU16.
Ujarnya, MCA harus mengukuhkan aspek pendidikan politik dalam kalangan ahli dan generasi muda agar mereka dapat berhujah dengan baik bagi mematahkan serangan pihak luar.
“Kita perlu ada penguasaan ilmu yang betul bagi menampakkan anjakan paradigma dengan menggunakan pendekatan berlainan.
“Saya juga merasakan dalam perkara ini, kita bukan sahaja mahu kuatkan MCA namun turut berusaha bagi memantapkan lagi gabungan BN,” katanya.-UTUSAN