Tiada sebab rakyat Selangor perlu tukar kerajaan - Ramanan

Tiada sebab rakyat Selangor perlu tukar kerajaan – Ramanan

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada sebab pengundi Selangor perlu menukar kerajaan dengan memilih kerajaan baharu memandangkan pentadbiran sedia ada memiliki prestasi dan rekod cukup cemerlang dalam membela nasib rakyat selama tiga penggal berturut-turut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan berkata, pentadbiran negeri di bawah pentadbiran kerajaan diterajui PKR sejak 2008 banyak melaksanakan pelbagai inisiatif dan bantuan dengan perkara itu berterusan sehingga kini di samping tidak sesesiapa rakyat pun yang pernah terlepas pandang.

Katanya, berbanding Perikatan Nasional (PN) yang kononnya ingin menawan Selangor hanya dilihat juara isu perkauman dan agama sebaliknya gagal mengetengahkan sebarang idea tawaran yang ingin dilakukan kelak jika menang pilihan raya.

“Kita ada prestasi kerja yang cukup cemerlang dan rekod terbaik membantu rakyat, jadi tiada sebab untuk rakyat Selangor pilih parti selain kita. Sejak 2008 sehingga kini, negeri ini menjadi contoh terbaik daripada segi perancangan negeri sehingga menyumbang pertumbuhan ekonomi negara.

“Jadi para pengundi khususnya atas pagar kini bijak untuk menilai antara pencapaian rekod berbanding pihak yang pandai mencipta isu-isu sentitif demi meraih sokongan, malah gagal untuk berhujah secara dasar dan bermanfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya.

R. RAMANAN bersama dua calon PRN Selangor, Aidi Amin Yazid (kiri) dan Mohd. Khairuddin Othman (kanan).

PN Selangor sebelum ini optimis berpeluang cerah memenangi PRN sekali gus mengambil alih negeri ini biarpun dinafikan pihak lawan. 

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, keyakinan itu berlandaskan beberapa faktor dan perkembangan terkini reaksi rakyat yang didakwa muak dengan pembohongan dan janji palsu PH.

Pada masa masa, Ramanan berkata, PKR tidak gentar dengan mana-mana muka yang bakal diketengahkan PN di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Sungai Buloh iaitu Kota Damansara dan Paya Jaras meskipun mempertaruhkan calon heavyweight.

Menurut beliau, keyakinan itu bersandarkan gerak kerja oleh semua rakan komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) apabila semua parti dilihat komited untuk berkerjasama meraih kemenangan pada 12 Ogos ini.

Malah kata Ramanan, PH meletakkan dua muka berpotensi menang iaitu seorang peguam, Aidi Amin Yazid di Kota Damansara manakala Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd. Khairuddin Othman pula mempertahan kerusi Paya Jaras.

“Namun begitu kita tidak terlalu selesa dan perlu kerja keras untuk mempertahan kedua-dua kerusi ini, apatah lagi Kota Damansara mempunyai 90,000 pengundi iaitu satu jumlah agak besar yang menyamai satu kawasan Parlimen.

“Dengan dua calon berpotensi menang dan kerjasama erat PH dan BN, kita yakin boleh mencipta satu lagi kejayaan dalam pilihan raya, asalkan kita bekerja kuat untuk meraih sokongan pengundi sehingga 11 Ogos ini,” katanya.

Selain PH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dijangka masing-masing meletakkan calon di kerusi Kota Damansara dan Paya Jaras yang terletak di bawah Parlimen Sungai Buloh dalam PRN Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya