Tiada pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Tiada pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tiada pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia dilakukan di Negeri Sembilan buat masa ini dan video yang tular di Tiktok adalah berkaitan dengan Program Eradikasi Malaria dan tiada kaitan dengan Program Kawalan Denggi menggunakan nyamuk itu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), KKM, Datuk Dr. Norhayati Rusli berkata, Wolbachia merupakan sejenis bakteria yang ditemukan secara semula jadi dalam 60 hingga 70 peratus serangga di alam sekitar.

“Bakteria Wolbachia yang disuntik ke dalam nyamuk Aedes aegypti boleh merencat replikasi virus denggi di dalam badan nyamuk seterusnya menghalang penularan virus denggi daripada nyamuk kepada manusia.

“Nyamuk Aedes Wolbachia tidak memberi kesan sampingan kepada nyamuk atau persekitaran dan tidak diubah suai secara genetik. Hasil penyelidikan di Malaysia dari 2017 sehingga 2019 menunjukkan penurunan kes denggi di lokaliti pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia di antara 50 hingga 80 peratus berbanding lokaliti tanpa pelepasan nyamuk itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Operasi Pelepasan Nyamuk Aedes Wolbachia di Malaysia telah dilancarkan pada 2019 sebagai strategi tambahan bagi menangani peningkatan kes dan wabak denggi di lokaliti yang melaporkan kes yang tinggi. 

“Di Malaysia, sehingga kini operasi ini telah dilaksanakan di tujuh negeri melibatkan 28 lokaliti. Setelah dua tahun pelaksanaan operasi pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia, sebanyak 16 daripada 19 lokaliti pelepasan 84.2 peratus kohort 1 dan kohort 2 telah menunjukkan tren penurunan kes demam denggi di antara 33 peratus hingga 100 peratus.

“Di samping itu satu daripada baki tiga lokaliti yang lain telah menunjukkan kekal tiada kes denggi dan dua lokaliti lagi telah menunjukkan tiada peningkatan kes denggi di mana bilangan kes yang dilaporkan juga adalah rendah,” katanya.

Sementara itu Dr. Norhayati berkata, masyarakat perlu mengambil peranan dalam pencegahan denggi daripada terus merebak dengan mengikuti beberapa langkah.

“Antara pencegahan awal yang dapat dilakukan adalah penjagaan kebersihan persekitaran di kawasan kediaman dan kejiranan serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Seterusnya menggunakan semburan aerosol dalam premis dan menggunakan alat pelindung diri (PPE) di luar premis seperti repelan nyamuk,” katanya.

Sehubungan dengan itu, pihak KKM menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan Operasi Pelepasan Nyamuk Aedes berWolbachia di Malaysia dengan melayari laman sesawang www.infosihat.gov.my atau boleh menghubungi hotline KKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya