ALOR GAJAH: Beduk atau taboh yang digunakan pada zaman dahulu sebagai alat pemberitahuan waktu solat dan kematian kini semakin dilupakan.
Tinjauan Utusan Malaysia di Taboh Naning di sini mendapati, masjid baharu tidak lagi memiliki beduk manakala masjid lama hanya menyimpan kayu berbentuk silinder itu sebagai kenangan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, bilal Masjid Datuk Dol Said, Abu Zaki Mohayat, 64, berkata, beduk dianggap sebagai medium komunikasi yang penting oleh masyarakat Melayu dahulu kerana maklumat dapat disampaikan dengan mudah meskipun melalui bunyi ketukan.
“Beduk Masjid Datuk Dol Said ini sudah ada sejak 1950 lagi iaitu pada awal pembinaan masjid ini. Beduk ini sebagai alat untuk memberitahu masuk waktu solat dan berlaku kematian.
“Bagaimanapun, fungsinya semakin dilupakan selepas masjid ini menerima bekalan elektrik pada 1970 dan mula menggunakan pembesar suara. Sudah hampir 50 tahun beduk ini ‘bersara’.
“Beduk ini kemudiannya dialihkan ke lokasi baharu ketika masjid sedang menjalani pengubahsuaian. Hendak buang, rasa sayang maka kami buatkan tapak dan simpan sebagai kenangan,” katanya.
Tambah Abu Zaki, secara peribadi beliau berpandangan, beduk tidak lagi sesuai digunakan pada zaman sekarang melainkan untuk tujuan tertentu dalam skala kecil.
Katanya, suasana hiruk-pikuk dengan bunyi kenderaan lalu-lalang menyukarkan bunyi sampai ke setiap ceruk rumah penduduk.
“Sekarang tidak relevan kerana bunyi beduk tidak boleh pergi jauh disebabkan keadaan sekeliling. Dahulu suasana lebih sunyi menyebabkan paluan beduk boleh didengari sehingga hujung kampung.
“Peranan beduk kini telah diambil sepenuhnya oleh pembesar suara, gajet dan media sosial menyebabkan generasi baharu tidak berpeluang merasainya,” ujarnya. –UTUSAN