MARANG: Penyandang Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim bakal mempertahankan kerusi tersebut selepas dicalonkan semula bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini.
Nama calon Parlimen itu diumumkan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang di Rusila, di sini, malam ini.
Pengumuman calon tersebut juga menamatkan teka-teki calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu tersebut.
Sebelum ini, beberapa nama besar diramalkan menjadi calon PN termasuk Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.
Dalam pada itu, wujud juga dakwaan kononnya Ahmad Amzad bakal digugurkan daripada bertanding selepas kemenangannya dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya negeri dan pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.
Sebelum itu, UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Terengganu yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi.
Beliau mendapat 63,016 undi, mengetepikan tiga lagi pencabarnya iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 10,946 undi; Datuk Mohd Zubir Embong daripada Barisan Nasional (BN) dengan 22,109 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi).-UTUSAN