NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai halangan sekiranya penilaian risiko terhadap kemudahan dan infrastruktur di semua sekolah dilaksanakan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penilaian tersebut sebenarnya telah dibuat ketika ini dan sentiasa berada di bawah pemerhatian kementeriannya.
“Penilaian ini juga ada kaitan dengan susulan pengagihan peruntukan sebanyak RM70,000 kepada sekolah untuk menaik taraf dan menyelenggara (kemudahan tandas) sebelum ini. Jadi, ini memang sangat kena pada masanya.
“Pada masa sama, kita ingatkan kepada semua sekolah, kena ambil langkah berhati-hati dalam memastikan keselamatan murid sama ada ketika berada dalam bangunan, kawasan atau premis sekolah dan Alhamdulillah, semua proses kerja intervensi telah kita laksanakan dalam proses tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat Madani Pulau Pinang di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Acheh di sini, hari ini.
Fadhlina mengulas mengenai saranan seorang Exco Kerajaan Negeri Perak sebelum ini supaya penilaian risiko terhadap ancaman bahaya persekitaran serta peralatan yang digunakan di sekolah dilakukan dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR).
Saranan itu timbul selepas berlakunya insiden seorang murid Tahun Tiga di sebuah sekolah di Ipoh, Perak yang cedera selepas ditimpa tangki pam tandas yang tercabut dalam kejadian, Selasa lalu.
Mengulas kejadian pelajar Tingkatan Satu yang maut selepas terjatuh dari bangunan sekolah di Melaka, kelmarin pula, Fadhlina turut menekankan perkara yang sama iaitu keperluan untuk memantau keselamatan murid dan pelajar di sekolah.
“Memang pada peringkat ini, kita ada konsep sekolah selamat. Sekolah selamat ini sebenarnya bukan sahaja selamat daripada gangguan buli, tapi juga (selamat) dari segi infrastruktur.
“Dalam hal ini, kita kena pastikan sama-sama membuat intervensi dan pastikan keselamatan anak-anak kita (sentiasa terjamin) dari semasa ke semasa,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, sehingga bulan ini, kadar kebolehpasaran pelajar KV telah mencecah 91.6 peratus.
“Setiap hujung tahun, kadar kebolehpasaran ini sebenarnya boleh mencapai antara 98 ke 99 peratus dan sekarang baru bulan Julai, tapi ia (kebolehpasaran) sudah mencapai 91.6 peratus,” katanya yang memberitahu, peratusan itu membuktikan graduan KV memenuhi kehendak industri ketika ini.
Tambah beliau, kementeriannya bukan sahaja tidak menolak untuk menambah KV pada masa depan, malah akan menambah program yang ditawarkan di institusi tersebut selepas ini.
Ketika ini, terdapat 86 buah KV di seluruh negara dengan 606 program ditawarkan secara keseluruhannya. – UTUSAN