Teruja mahu mandi laut sebelum ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Teruja mahu mandi laut sebelum ditemukan lemas

MOHAMMAD Fariz Irfan Abdul Halim, kanak-kanak 10 tahun yang ditemukan lemas di perairan Teluk Senangin, Segari hari ini selepas dilaporkan hilang semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: “Dia beriya-iya hendak pergi mandi laut, rupa-rupanya dia pergi sungguh (tidak kembali),” kata Abdul Halim Mohamed Ramli.

Abdul Halim, 44, adalah bapa kepada Mohammad Fariz Irfan, kanak-kanak berusia 10 tahun yang ditemukan lemas hari ini selepas dilaporkan hilang ketika mandi di pantai Teluk Senangin,Segari, dekat sini tengah hari semalam.

Menurutnya, anak ketiga daripada empat beradik itu begitu teruja mahu mandi laut dan ketika dalam perjalanan dari Ipoh ke Teluk Senangin pun kerap bertanya bila mahu sampai ke pantai tersebut.

Malah, katanya, sebaik sahaja tiba di Teluk Senangin, anak lelaki tunggalnya itu terus mahu pergi ke pantai tetapi dihalang dan dia menyuruhnya menjamah bekalan makanan yang dibawa terlebih dahulu.

“Saya paksa dia makan, saya beritahu kalau tidak mahu makan, tidak payah turun ke laut.

“Dia makan sedikit sahaja dan nampak air matanya menitis macam sedih, selalu dia tidak macam itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung di sini, hari ini.

Menurutnya, dia jarang membawa keluarga berkelah dan kali terakhir membawa anaknya itu mandi laut ialah di Teluk Batik, dekat sini, kira-kira tiga tahun lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sebaik sahaja anaknya itu bersama anak bongsunya berusia tujuh tahun dan anak keduanya berusia 19 pergi ke pantai, dia pergi mencari lokasi sesuai untuk memancing.

Jelasnya, ketika itu dia tidak risau kerana anaknya itu dan anak bongsunya dipantau anak keduanya yang dewasa manakala keadaan ombak adalah perlahan dalam suasana ‘air mati’.

“Saya hanya mengetahui anak saya hilang apabila isteri, Biduri Hamzah, 48, bertanya sama ada melihat kelibat arwah, sebelum mencarinya di seluruh kawasan Teluk Senangin sehingga pukul 2.30 petang dan apabila buntu, kami menelefon talian kecemasan 999 meminta bantuan.

“Ini adalah kali pertama anak saya mandi di pantai Teluk Senangin yang rupa-rupanya menjadi percutian terakhir arwah bersama keluarga,” katanya.

Katanya, jenazah arwah dibawa pulang untuk solat jenazah di Surau Taman Chepor Damai, Ipoh, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya.

Terdahulu hari ini, mayat Mohammad Fariz ditemukan di perairan Tanjung Hantu, kira-kira dua batu nautika dari pantai peranginan tersebut kira-kira pukul 8.20 pagi.

Mangsa ditemui oleh nelayan yang menangkap ikan di kawasan tersebut sebelum memaklumkannya kepada pasukan mencari dan menyelamat anak-kanak tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya