Terpaksa telan 15 biji ubat sehari lawan penyakit - Utusan Malaysia

Terpaksa telan 15 biji ubat sehari lawan penyakit

NUR Suhadah Mohd. Pellee (kiri) mewarna buku lukisan sambil diperhatikan oleh ibunya di Kampung Bukit Perah, Pasir Mas, Kelantan. – UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun terpaksa menelan 15 biji ubat setiap hari bagi meredakan penyakit buah pinggang kronik yang dialami­nya sejak tiga tahun lalu.

Selain makan ubat, Nur Suhadah Mohd. Pellee terpaksa menjalani rawatan berkala di hospital setiap bulan dan pada masa sama turut menghidap penyakit asma.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Umi Kalsom Ahmad, 43, berkata, penyakit itu ‘meragut’ keceriaan serta sifat periang anak bongsu daripada empat beradik yang lebih suka menyendiri serta mudah tersentuh setiap kali bercakap mengenai masalah kesihatannya.

“Sebagai ibu, ada ketikanya saya sendiri tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat keadaan Nurul Suhadah yang seolah-seolah memendam pe­rasaan sedih serta sakitnya.

“Bagaimanapun, kami dapat melihat senyumannya setiap kali melihat video daripada YouTuber, Alieff Irfan kerana dia begitu minat dan impiannya adalah untuk bertemu dengan Alieff,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Bukit Perah di sini semalam.

Umi Kalsom memberitahu, Nur Suhadah didiagnosis pe­nyakit itu sejak berusia lapan tahun dan kini hanya bergantung kepada ubat serta perlu menjalani rawatan susulan berkala setiap bulan di hospital.

Katanya, Nurul Suhadah pernah menjalani pembedahan kecil untuk mengambil sampel tisu buah pinggangnya pada September tahun lalu.

“Selain bergantung kepada ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital, kami hanya mampu membeli beberapa keperluan lain seperti alat untuk ujian air kecing serta susu.

“Kami tidak mampu untuk membeli vitamin serta ubat tambahan lain memandangkan saya hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang tidak menentu manakala suami, Mohd. Pellee Che Hamat, 46, pula sebagai pengawal ke­selamatan dengan gaji sebanyak RM1,200 sebulan,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama Umi Kalsom Ahmad yang bernombor 03-027-02-057159-4. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya