Terkabulnya doa enam tahun Alif Satar

Terkabulnya doa enam tahun Alif Satar

Alif Satar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘PULANG’ dan ‘kembali’ tidak selalunya tentang tempat atau lokasi. Ia tentang perasaan yang membuat kita sering terkenang sesuatu peristiwa atau seseorang. Wajah selebriti Alif Satar seperti bercahaya, matanya cerlang menceritakan kepada Pancaindera perasaan terujanya ingin pulang ke rumah Allah.

Madinah, Mekah dan Kaabah menyimpan ketenangan luar biasa yang hanya boleh diperolehnya di tanah suci. London, Paris atau kota besar manapun tidak boleh memberikan Alif perasaan syahdu seperti di tanah kelahiran Nabi.

Enam tahun Alif atau Muhammad Alif bin Mohd Satar memanjat doa, memohon agar suatu hari nanti Allah berkenan menerimanya sebagai tetamu. Selepas beberapa kali menunaikan umrah, kini pada tahun 2023, hasrat dan harapan penyanyi itu termakbul apabila dia direzekikan menunaikan haji buat pertama kali bersama-sama isterinya, Sha Dila Halid.

“Perasaan di tanah suci lain. Walaupun kita dikelilingi lima juta orang sekalipun, kita akan rasa keseorangan. Seolah-olah memang semuanya antara kita dan Tuhan. Kita akan selalu terkenang dan ingin kembali.

“Melihat kaabah sahaja sudah dapat pahala. Ia memang tempat yang sangat suci. Semoga lebih ramai orang muda yang menyimpan duit untuk ke Mekah,” katanya.

Ada doa istimewa yang Alif ingin panjatkan di hadapan Kaabah. Namun tidak perlulah diceritakan kepada umum. Apapun, bapa kepada tiga cahaya mata itu tetap mendoakan kesejahteraan tidak hanya buat dirinya, malah buat kenalan terdekat.

“Doa kali ini lebih khusus namun biarlah menjadi rahsia saya. Cuma saya akan tetap memohon keampunan dan dimudahkan urusan dunia dan akhirat. Tidak hanya untuk saya, malah anak-anak, ahli keluarga, sahabat dan mereka yang di sekeliling saya,” ceritanya.

AIDILADHA DAN DOA SEORANG MAMA

Aidiladha selalu meninggalkan perasaan spiritual yang istimewa buat penyanyi Anugerah Terindah ini bahkan sebelum dia berkesempatan menunaikan haji lagi.

Bagi Alif, Aidiladha adalah hari untuk mengenang makna pengorbanan dan kasih-sayang yang tidak berbelah bagi antara Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

“Bila bercakap tentang pengorbanan, saya sendiri tidak pernah rasa bahawa apa yang saya lakukan dianggap pengorbanan besar jika dibandingkan dengan jasa mama dan ayah sepanjang membesarkan saya.

“Saya mula melangkah ke bidang seni pada umur yang sangat muda. Tapi waktu itu mama dan ayah bagi semua sokongan untuk kami capai cita-cita. Mereka korbankan kudrat, masa dan kewangan apa lagi pada waktu itu kami bukanlah keluarga yang hidup mewah.

“Kadangkala waktu memandu kereta, saya tiba-tiba terkenang bagaimana mama dan ayah berikan yang terbaik buat anak-anak sehinggalah saya menjadi Alif Satar seperti hari ini,” katanya yang sebelum ini pernah tinggal dan dibesarkan di sebuah rumah flat di Wangsa Maju sehingga tahun 1997.

Alif memulakan karier lakonannya seawal umur 14 tahun untuk sebuah produksi teater. Namun siapa sangka, rezekinya bergelar penyanyi sudah tertulis lebih dulu.

Anak sulung daripada empat adik-beradik ini menduduki tempat ketiga dalam rancangan realiti nyanyian hangat di Malaysia pada waktu itu iaitu One in a Million. Lebih membanggakan, Alif hanya berusia 16 tahun ketika itu.

Sejak itu, Alif bertatih membina nama. Industri hiburan bukanlah indah serta serbi. Salah percaturan, kita mungkin mencipta musuh. Silap langkah, kita mungkin tertinggal jauh.

Namun berbekalkan pesanan dan doa mamanya, Nur Hafiza Muhammed, semua episod baik dan buruk ditempuhinya dengan sabar.

Sehinggalah hari ini Alif menjadi artis yang selalu tular dengan imej bersih dan sering menginspirasikan semua.

“Umur baru 16 tahun masuk industri tidak mudah. Kita kena kuat. Tapi saya tahu, saya berada di dalam bidang ini kerana restu dan doa mama.

“Dia pesan, kalau betul mahu masuk ke dalam industri, buat betul-betul. Jadikan ini sebagai satu kerjaya yang boleh menjaga keluarga dan berbakti kepada masyarakat.

“Saya tidak pernah menyesal memilih laluan ini. Waktu umur 16 tahun saya sudah berjalan satu Malaysia, temu ramah orang Hollywood dan jumpa pemimpin dunia.

“Saya tak pernah rasa masa kanak-kanak saya tertinggal,” jelasnya.

TUHAN SELALU YANG PERTAMA

ALIF mendedahkan sebenarnya tidak mudah bersiap di awal pagi untuk ke sebuah acara kemudian berkejar ke program lain. Tidak lupa juga jika terlibat dengan penggambaran berjam-jam lamanya. Sesibuk apapun, bagi Alif solat adalah kunci kekuatan sehariannya.

“Saya tidak mahu kedengaran seperti ustaz, tapi saya sedaya upaya akan mengutamakan solat. Saya perasan jika kita solat di awal waktu, Allah akan mudahkan.

“Kita jagalah solat. Mungkin kalau tak solat kita akan rasa penat. Mungkin kalau tak solat kita rasa makin tak cukup masa.

“Saya tak sempurna, Allah tutup aib agar orang tak nampak keburukan saya,” katanya.

Selain itu, pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu Ke-37 ini sudah membangun prinsip, ada etika yang tidak boleh diruntuhkannya atas nama kerjaya dan populariti.

“Saya tak akan buat apa-apa yang melanggar prinsip saya. Contohnya lakonan, ada batas dan sensitiviti yang kita kena jaga.

“Walaupun ada yang mahu sekadar bekerja tanpa dilihat oleh masyarakat. Tapi ketahuilah menjadi seorang figura tetap akan diperhatikan.

“Ingatlah ada kanak-kanak di luar sana yang sedang memandang kita sebagai contoh. Oleh itu, kita kena tunjukkan tauladan yang baik,” katanya menutup temu ramah. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya