KUALA TERENGGANU: Kerajaan Perpaduan memberi keutamaan kepada Terengganu dalam menambah baik fasiliti kesihatan di negeri itu pada tahun ini.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, walaupun Terengganu merupakan negeri pembangkang, namun Kerajaan Perpaduan tidak meminggirkan negeri ini dalam meningkat kemudahan kesihatan untuk keselesaan rakyat menerima rawatan.
Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan telah meluluskan peruntukan lebih RM70 juta untuk melaksanakan projek-projek pembangunan fasiliti kesihatan di seluruh Terengganu..
Katanya, daripada keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM8.9 juta disediakan untuk melaksanakan projek membaik pulih dan menaik taraf 53 buah klinik desa yang diklasifikasi sebagai daif di negeri ini pada tahun ini.
“Sebahagian klinik tersebut telah siap kerja-kerja menaik taraf tersebut manakala beberapa klinik lagi dalam pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama serta Jentera Pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di Losong dekat sini, malam tadi.
Selain itu, Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat itu memberitahu, Hospital Dungun yang diklasifikasi sebagai projek sakit dijangka siap akhir Disember depan.
“Kementerian Kesihatan akan memastikan Hospital Dungun yang tinggal beberapa peratus lagi akan dipastikan siap pada tahun ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, PH dan Barisan Nasional (BN) berharap dapat merampas semula kerusi DUN Wakaf Mempelam yang dimenangi Pas sejak lebih 30 tahun lalu dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Katanya, jentera pilihan raya PH dan BN diminta menjalan kempen dengan bertemu dengan lebih ramai pengundi di DUN berkenaan untuk memastikan DUN tersebut dapat dimenangi dengan bergaya pada hari pengundian nanti.
“Bukan itu sahaja, Insya-Allah kita dapat memenangi di beberapa kerusi (DUN) lain dan kembali merampas Terengganu,” ujarnya. – UTUSAN