KUALA TERENGGANU: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera menerima seikhlasnya keputusan parti tidak mencalonkannya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRN) di negeri ini pada 12 Ogos depan.
Menurutnya, beliau percaya keputusan tersebut memberi lebih besar hikmah akan diperolehi terutama bagi institusi kepemudaan kerana tunjang berorganisasi adalah taat dan wala’ kepada kepimpinan.
“Saya menganggap keputusan ini adalah suatu pilihan di antara beberapa strategi bagi BN (Barisan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan) Terengganu memenangi PRN kali ini. Menang suatu keajaiban, kalah suatu kesedaran,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Tengku Haphiz sebelum ini dikatakan bakal menjadi calon BN untuk bertanding di salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Hulu Terengganu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pada PRN ini, parti menghadapi tugas paling mencabar apabila 55 peratus pengundi di Terengganu merupakan dalam kalangan pengundi muda yang berumur 40 tahun ke bawah.
“Perspektif dan naratif yang perlu dibawa mesti selari bersama kewibawaan UMNO Terengganu terutama calon-calon yang bakal bertanding nanti.
“Sedikit mencabar apabila calon Pemuda BN pula hanya dua daripada 26 calon BN yang dipertandingkan,” ujarnya.
Pada masa sama, Tengku Haphiz berkata, beliau mengajak semua ahli dan penyokong UMNO meneruskan perjuangan untuk memastikan kemenangan besar BN di Terengganu dalam PRN nanti.
“Kita teruskanlah selekoh terakhir kita ini dengan sekelumit tekad sekalipun, agar kejayaan mampu dimiliki oleh BN-PH pada 12hb Ogos 2023 nanti.
“Biar badai melanda, biar ribut menghempas kita kekal memikul aspirasi anak muda. Manusia membuat pilihan, Allah SWT mentakdirkan, teruskan perjuangan,” tambahnya. – UTUSAN