Tempahan hotel di Langkawi untuk urusan rasmi KDN - Saifuddin

Tempahan hotel di Langkawi untuk urusan rasmi KDN – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan kunjungan beliau ke Langkawi, kelmarin yang memerlukan penginapan di sebuah hotel adalah atas urusan rasmi di bawah kementeriannya.

Katanya, tidak timbul isu salah guna seperti didakwa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kerana kehadirannya atas kapasiti sebagai menteri memerlukan beliau dan rombongannya menempah tempat penginapan di pulau peranginan tersebut.

“Saya ke Langkawi untuk diberi taklimat oleh Ketua Polis Daerah Langkawi mengenai persiapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan urusan hari penamaan calon. Saya mendengar taklimat bersama Ketua Polis Kedah.

“Tetapi apabila tempahan dibuat oleh agensi di bawah KDN, beliau anggap sebagai salah guna. Saya bergerak sebagai menteri, diiringi beberapa pegawai keselamatan, kalau saya pilih menginap di sana, sudah tentu mereka (pegawai keselamatan) disediakan bilik,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat PKR Kedah di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa Saifuddin menyalah gunakan jabatan kerajaan ketika kempen politik apabila tempahan 15 bilik di sebuah hotel di Langkawi dibuat oleh Jabatan Imigresen.

Tambah Saifuddin, kebetulan hotel yang ditempah itu adalah milik kerajaan negeri yang menyebabkan data serta maklumat tempahan bocor sehingga Muhammad Sanusi memuat naiknya ke Facebook.

“Sanusi anggap ini peluru besar padahal macam peluru kapur atau meriam buluh saja tetapi boleh pula dokumen tempahan itu bocor. Saya di situ dengan Ketua Polis Negeri dan ini bukan soal Saifuddin kerana saya hanya anggota pentadbiran yang memegang portfolio keselamatan.

“Kalau hotel boleh dengan mudah membocorkan dokumen tempahan, maka itu tak bagus untuk perniagaan mereka. Pada masa depan kalau ada orang yang Menteri Besar tidak suka atau tak setuju, adakah pihak hotel akan terus dedahkan begitu saja,” soalnya.  

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, apa yang berlaku menunjukkan betapa lemahnya tatakelola tidak hanya melibatkan Menteri Besar, malah anak-anak syarikat kerajaan negeri yang memiliki hotel tersebut.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kenyataan Muhammad Sanusi untuk memberinya satu soalan setiap hari merupakan taktik bagi mengalih pandangan rakyat terhadap pendedahan demi pendedahan yang dibuat berkaitan kecurian unsur nadir bumi (REE).

Menurutnya, beliau amat terbuka dan mengalu-alukan soalan dari Muhammad Sanusi memandangkan perkara itu adalah lumrah dalam politik, namun pada masa sama Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu juga perlu menjawab setiap soalan dikemukakan berhubung kecurian REE.

“Ketika ini apa yang mampu dilakukannya hanyalah mengalihkan ‘tiang gol’ dengan menimbulkan soal Syarikat Air Darul Aman (SADA), Jerai International Park dan sebagainya. Tetapi beliau tak akan boleh umpan saya ke situ.

“Saya alu-alukan serangan itu (isu hotel) tetapi dalam masa sama sila jawab bagaimana orang yang beliau tulis surat kepada Menteri Dalam Negeri untuk pelepasan imigresen, kemudian terlibat dalam pemerdagangan manusia,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya