LENGGONG: Lembah Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kini berada di bawah pengurusan kerajaan negeri.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin berkata, pengurusan tapak warisan dunia itu diambil alih daripada Jabatan Warisan Negara berkuat kuasa Januari lalu.
Katanya, pengurusan tapak warisan itu boleh dibuat melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan taman-taman negeri.
“Sebelum ini semua urusan bagi Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong adalah di bawah Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Kini, kita minta kerajaan negeri yang menguruskannya seperti mana yang terkandung dalam dokumen yang kita hantar ke UNESCO. Ia sama seperti yang berlaku di Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui pada program Warisan@Lenggong di Dataran Lenggong di sini hari ini.
Program diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-11 Pengikhtirafan Lembah Lenggong Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Festival Memartabatkan Seni Budaya ‘Warisan Akar Umbi’ itu dirasmikan Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd. Zamri Mat Zain.
Terdahulu, pada majlis tersebut, King Sing menyerahkan watikah pengurusan Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong kepada kerajaan negeri yang diwakili Saarani.
Pada majlis sama, King Sing turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada kerajaan negeri Perak bagi tujuan mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024.
Mengulas lanjut beliau berkata, dari segi peruntukan kewangan bagi kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan itu, kerajaan negeri boleh membuat permohonan bagi tujuan tersebut.
“Sama seperti negeri lain, perlu memohon (peruntukan kewangan). Ini bererti, Perak ada kuasa penuh untuk memohon peruntukan seperti mana Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
“Permohonan itu boleh dibuat kepada kerajaan melalui Kementerian kewangan mahupun belanjawan. Di peringkat MOTAC dan Jabatan Warisan Negara, kita akan bantu dari segi operasi dan geran. Jika ada permohonan, kita akan bantu,” katanya. – UTUSAN