SUNGAI PETANI: Kerajaan Persekutuan dikhabarkan sedia menyokong usaha Kedah memperluaskan kawasan penanaman padi bagi projek penanaman lima kali dalam tempoh dua tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh semasa pertemuan mereka di Wisma Darul Aman, kelmarin.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/07/Gambar-3-22-600x400.jpg)
“Saya dimaklumkan semasa mesyuarat itu bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyokong inisiatif kita dalam melaksanakan lima musim penanaman padi pada setiap dua tahun.
“MADA telah memulakan projek rintis di sawah seluas 290 hektar dan sasaran kita adalah untuk memperluas skim itu kepada 30,000 hektar sawah di bawah seliaan MADA untuk meningkatkan hasil padi Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Operasi kepada 237 Institusi Pendidikan Agama di Kedah di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) di sini, semalam.
Ketika ini kebanyakan petani di negara ini menanam padi dua musim setiap tahun.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau juga menyampaikan harapan kerajaan negeri agar Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan bagi memperluas inisiatif itu ke semua sawah padi di bawah MADA.
“Kita memerlukan bajet tambahan untuk menaik taraf infrastruktur khususnya sistem pengairan serta subsidi tambahan untuk baja dan racun perosak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak ada masalah untuknya bekerjasama dengan Dr. Ismail yang juga Pengerusi Parti Amanah Kedah walaupun terdapat perbezaan politik antara mereka.
“Kita perlu pastikan perkara ini (pertanian) berjalan, cuma jangan lantik orang yang bermasalah ke jawatan ini sahaja. Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja dengan sesiapa sahaja.
“Apabila bercakap tentang kerja, kami buat kerja kami. Apa-apa perkara di luar kerja, kita bincang dalam platform berbeza,” ujarnya. – UTUSAN