IPOH: Taktik licik sindiket penyeludupan diesel bersubsidi menggunakan lori tangki air bagi mengisi bahan bakar itu terbongkar, selepas diserbu dalam Op Tiris semalam.
Serbuan pada pukul 1 tengah hari itu dijalankan di sebuah premis di kawasan penyelenggaraan bahan binaan tanpa nombor di Taman Pengkalan Pertama dekat sini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, serbuan dijalankan hasil risikan selama seminggu di premis yang dijadikan sebagai stor penyimpanan.
Katanya, pemeriksaan di lokasi serbuan berjaya menemui sebanyak 2,400 liter cecair disyaki minyak diesel yang disimpan di premis tersebut.
“Modus operandi sindiket itu adalah dengan membeli minyak diesel secara berulang iaitu antara lapan hingga 10 kali dengan anggaran 2000 liter sehari di beberapa buah stesen minyak sekitar Ipoh.
“Malah, bagi mengaburi pihak berkuasa, sindiket tersebut mengisi bahan bakar itu menggunakan lori tangki air sebelum memindahkan ke tangki simpanan lain dan dikumpulkan di stor berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, turut ditemui di premis itu sebuah pam penyedut minyak dan sebuah lori yang digunakan untuk membeli minyak diesel.
Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dipercayai penjaga premis ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kesemua barangan tersebut disita dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM87,960.00.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – UTUSAN