KANGAR: Pemuda Pas negeri menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus mengulangi naratif dan tuduhan kononnya Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Soal Ketua Pemuda Pas negeri, Haziq Asyraf Dun, adakah masuk akal bagi tauke-tauke judi memberi sumbangan kepada PN sedangkan apabila gabungan tersebut menang aktiviti perjudian berkenaan diharamkan.
Katanya, sehingga kini, Perdana Menteri masih gagal mengemukakan bukti terhadap dakwaan berkenaan sebaliknya terus menimbulkan persepsi memburuk-burukkan PN.
“Keluarkan fakta dan jangan sekadar mengeluarkan kenyataan secara umum semata-mata mahu mengelirukan rakyat. Kalau terus bermain persepsi begini dikhuatiri akan memakan diri kembali.
“Jika benar Perdana Menteri mempunyai bukti kukuh kemukakan untuk dinilai rakyat bukan berterusan membuat tuduhan,” katanya.
Anwar ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Padang Awam Guar Chempedak, Kedah kelmarin mencabar PN untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataannya bahawa parti itu menerima dana judi pada PRU15.
Anwar dilaporkan berkata, beliau bersedia disaman ataupun dikenakan tindakan sekiranya kenyataannya bahawa parti itu menerima dana daripada syarikat judi adalah fitnah.
Dakwa Anwar, tindakan PN ketika mentadbir negara menaikkan jumlah cabutan loteri daripada lapan kepada 22 kali bukan dilakukan secara percuma.
Mengulas lanjut, Haziq Asyraf berkata, Perdana Menteri tidak wajar berterusan meleparkan dakwaan tanpa bukti sehingga keyakinan pelbagai pihak terhadap kerajaan sekarang terus merosot.
“jika benar Perdana Menteri mempunyai bukti kukuh kemukakan untuk dinilai rakyat. Biar rakyat menilai mana satu betul atau salah,” katanya.-UTUSAN