PETALING JAYA: Malaysia bakal kekurangan 60 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang jika jumlah kemasukan pelajar aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di sekolah menengah terus berada di bawah 50 peratus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, negara memerlukan pekerja berkemahiran tinggi bagi menampung keperluan tenaga buruh yang sekali gus dapat menjana pertumbuhan dan ekonomi negara.
Katanya, kekurangan pekerja berkemahiran tinggi secara tidak langsung mengakibatkan negara terpaksa membawa masuk tenaga asing untuk menampung permintaan industri yang kini amat memerlukan lebih ramai saintis dan jurutera.
“Masalah kurang pelajar STEM memberi pelbagai kesan sama ada pertumbuhan ekonomi dan jumlah pekerjaan sedia ada. Lebih membimbangkan kita ada banyak kilang dan peluang pekerjaan tetapi tiada pekerja berkemahiran.
“Ini membimbangkan dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi, jika kita gagal menarik ramai anak muda untuk minat dan belajar STEM,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan negara boleh kehilangan tenaga profesional tempatan ekoran enrolmen pelajar aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) sekolah menengah masih di bawah 50 peratus, enam tahun berturut-turut sejak 2017.
Kerajaan pernah menyasarkan 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030 namun data setakat ini menunjukkan bilangannya sekitar 40 peratus.
Abdul Rahman menambah, membawa masuk pekerja asing untuk menampung tenaga buruh tidak sesekali menyelesaikan masalah kerana penyelesaian itu hanya bersifat sementara.
Sebaliknya kata beliau, negara ini perlu melahirkan pakar STEM dalam kalangan tempatan yang akhirnya dapat menabur bakti kepada tanah air sendiri dalam tempoh lebih lama.
Justeru katanya, semua pihak khususnya kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian di samping mengenal pasti punca generasi baharu kurang meminati bidang STEM.
Jelas beliau, antaranya kaedah terbaik bersama-sama membantu meningkatkan minat dan kesedaran murid terhadap STEM dengan melibatkan kerjasama universiti.
“Sains dan matematik tak susah, tetapi sebab tidak minat punca kurang mengambil jurusan ini untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat seterusnya,” katanya.
Beliau mencadangkan supaya meningkatkan pengetahuan sebagai nilai tambah dalam kalangan saintis dan jurutera sedia ada sebagai pelan jangka pendek untuk menampung kekurangan pekerja berkemahiran tinggi. – UTUSAN