Tabung Haji kaji tangani isu penempatan Mina

Tabung Haji kaji tangani isu penempatan Mina

SYED HAMADAH Syed Othman bersalaman dengan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia pulang ke tanah air di KLIA Sepang Rabu lalu. - Ihsan Tabung Haji
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengkaji pelbagai aspek dan menilai semua cadangan sebelum membuat keputusan dalam menyelesaikan isu ruang sempit dalam khe­mah di Mina.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman berkata, pihaknya menyambut baik pandangan konstruktif yang diberikan pelbagai pihak berkepentingan dan ia akan diperhalusi dalam sesi ‘post mortem’ setelah selesai musim haji pada tahun ini.

Menurut beliau, sekiranya cadangan itu melibatkan hukum-hukum ibadat haji, ia perlu  dibincang menerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji dan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.

“Sebarang keputusan juga perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk peraturan Arab Saudi, persediaan logistik dan penerimaan oleh jemaah haji negara.

“Ini termasuk kos-kos tambahan dan sebagainya (yang mungkin berlaku dalam menetapkan kaedah pelaksanaan baharu),” katanya di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan isu ruang sempit dalam khemah di Mina mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan jemaah Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, dipetik sebagai berkata, beliau menerima teks pesanan secara peribadi daripada Seri Paduka yang mahu perkara itu diteliti dan ditangani.

Justeru, Mohd. Na’im berkata, beliau berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi TH supaya Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-Jakim) memikirkan ijtihad baharu dalam usaha mengatasi isu berkenaan yang berlaku saban tahun lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah jemaah haji berikutan keluasan kawasan terbabit tidak berubah dan ditetapkan oleh hukum.

Antara yang tampil mengemukakan pandangan ialah bekas Ahli Jawatankuasa Pe­nasihat Ibadah Haji (TH-Jakim), Datuk Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya yang mencadangkan agar jemaah ditempatkan di kawasan Mina-Muzdalifah atau dikenali sebagai Mina Dua.

Timbalan Dekan Jari­ngan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim pula berkata, penyelesaian itu boleh dilakukan jika pihak TH dapat memikir jalan penyelesaian menerusi kaedah menambah baik penempatan sedia ada.

Kata beliau, jika kaedah pembayaran kos ibadah haji boleh dilakukan dengan melihat kepada tahap kewangan jemaah sama ada B40, M40 atau T20, maka tidak salah jika kaedah penempatan juga difikirkan seperti itu.

Selain itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berpandangan, isu penempatan sempit di kawasan Mina dapat ditangani sekiranya tempoh masa minimum ditetapkan untuk setiap jemaah Malaysia yang melakukan ibadah di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya