Syaza manja, tidak mahu berenggang dengan ibu bapa sebelum maut digilis - Utusan Malaysia

Syaza manja, tidak mahu berenggang dengan ibu bapa sebelum maut digilis

MOHD. Sazali Ismail bersama menyiram air mawar di pusara  Syaza Syazwina Zahra yang maut digilis kenderaan pacuan empat roda di  Tanah Perkuburan Kampung Ranggon, Kemaman, petang tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang bapa tidak menyangka perubahan sikap bayinya berusia 17 bulan yang menjadi lebih manja menjadi petanda pemergiannya sebelum digilis kenderaan pacuan empat roda, malam tadi.

Mohd. Sazali Ismail, 47, yang tinggal di Kampung Pengkalan Ranggon, Kerteh, di sini, berkata, Syaza Syazwina Zahra yang merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik itu juga tidak mahu berenggang dengan dia dan isterinya, Mazwin Abdul Rahim, 37. 

“Tak sangka dua tiga hari ini, anak saya memang tak nak berenggang, nak ikut saya dan isteri ke mana-mana.

“Sebelum kejadian pun, dari pagi hingga tengah hari, saya sempat bermain, menyuap nasi anak saya kerana kebetulan semalam saya tidak bekerja, tak sangka ia menjadi kenangan terakhir  saya dapat menjaganya,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Kampung Ranggon, di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang semalam, Syaza Shazwina Zahra, maut selepas digilis kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux yang dipandu sepupu perempuannya berusia 19 tahun.

Menceritakan kejadian, Mohd. Sazali berkata, sebelum tragedi malang itu, isterinya sempat membawa anak-anaknya bersiar di pantai sebelum singgah ke rumah adik iparnya di Kampung Darat Kolam, Kerteh kira-kira lima kilometer dari rumahnya. 

“Saya difahamkan, ketika kejadian, isteri sedang mencuci kereta, manakala anak saya bermain air berhampiran tempat isteri basuh kereta, bersama sepupunya yang lain. 

“Apabila sepupunya tiba-tiba berlari, anak saya turut mengikutnya dan dalam masa sama, anak saudara perempuan saya mengundurkan kenderaannya tanpa menyedari anak saya berada di belakang Hilux tersebut,” katanya. 

Mohd. Sazali berkata, isterinya yang menyedari kejadian itu berlaku, bergegas mendapatkan anaknya yang telah longlai, digilis tayar Hilux tersebut. 

“Ketika itu saya ada di rumah. Saya hanya tahu kejadian apabila diberitahu saudara saya telefon beritahu anak kena langgar. 

“Bila saya tiba di lokasi, anak telah dibawa ke klinik. Saya ingatkan anak hanya cedera ringan, namun bila tiba di klinik, saya diberitahu anak telah meninggal dunia. Dah ajal dia, saya redha dengan pemergiannya,” katanya sambil menahan sebak. 

Syaza Syazwina Zahra selamat dikebumikan kira-kira pukul 5 petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pemandu berusia 19 tahun itu ditahan semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya