Syamsul Yusof tarik balik saman Jawi, MAIWP

Syamsul Yusof tarik balik saman Jawi, MAIWP

SYAMSUL YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah filem, Syamsul Yusof hari ini menarik balik saman terhadap pegawai dan Pengarah Jawi serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang yang didakwanya menyebarkan fakta aib mengenai hubungannya dengan Ira Kazar kepada ibunya.

Penarikan balik saman itu dibuat atas permohonan Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Shamsul Md. Yusof atas permintaanya sendiri.

Pada 28 Mac lalu, Syamsul memfailkan saman itu dengan menamakan Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Mohd. Haris Abdllah; Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail dan MAIWP selaku defendan pertama hingga ketiga.

Peguam Azahir Nasir yang mewakili Syamsul mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh di sini, hari ini.

Perkara itu turut disahkan oleh peguam, Datuk Adnan Seman yang mewakili MAIWP ketika dihubungi media selepas prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu.

“Mahkamah membenarkan saman tersebut ditarik balik tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Mahkamah turut memerintahkan Syamsul untuk membayar kos sebanyak RM4,000 kepada defendan pertama dan kedua manakala bagi defendan ketiga, Syamsul diperintahkan membayar kos sebanyak RM5,000,”ujar peguam itu.

Menurut pernyataan tuntutannya, Syamsul mendakwa pada 20 Disember 2022, ibunya, Datin Patimah Ismail telah menyerahkannya sekeping gambar melalui WhatsApp antara lainnya memaparkan nama isterinya, Faghira Fatini, nombor kad pengenalan wanita itu, sebahagian tandatangan Ira dan sebahagian keterangan yang diberikan Ira sewaktu dipanggil oleh Jawi.

Syamsul mendakwa keterangan itu menggambarkan bahawa dia dan Ira telah menjalinkan hubungan sulit di antara 2019 dan 2021.

Ira bagaimanapun menafikan dia telah memberikan keterangan sedemikian ketika dipanggil untuk siasatan berkaitan gangguan orang ketiga yang difailkan oleh bekas madunya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

Satu laporan polis berhubung penyebaran keterangan berbaur fitnah itu turut dibuat Ira pada 23 Disember 2022.

Sehubungan itu, pengarah filem Mat Kilau itu mendakwa, beliau telah dimarahi ibunya sehingga mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaannya dan turut mengakibatkan Syamsul mengalami tekanan perasaan.

Syamsul juga mendakwa penyebaran itu dilakukan bagi memalukan, mengaibkan dirinya dan berniat jahat.

Oleh itu, Syamsul memohon deklarasi bahawa kenyataan yang disebarkan itu tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan kesemua defendan telah merakam dan menyebarkan keterangan itu.

Beliau turut memohon ganti rugi am, teladan dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, menurut pembelaan Mohd. Haris, beliau menyatakan telah mengambil alih siasatan ke atas Ira selepas pegawai penyiasat asal telah berpindah ke Perak.

Tambahnya, siasatan awal selepas aduan Puteri Sarah diterima dibuat oleh Pegawai Penyiasat Jawi, Mohd. Azmi Masjuri.

Jelasnya, siasatan lanjut yang dijalankannya adalah mengikut Seksyen 59 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan sebelum rakaman percakapan dibuat, Ira juga telah diberikan penerangan mengenai proses rakaman itu.

Selesai rakaman dibuat dan selepas ia ditukarkan ke dalam bentuk tulisan, Ira telah diberikan dokumen terbabit untuk dibaca dan membuat pembetulan sebelum menurunkan tandatangannya.

Kesemua dokumen membabitkan siasatan itu telah diserahkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japens) untuk arahan selanjutnya.

Selain itu, Mohd. Ajib memaklumkan, pihak Jawi telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas menerima aduan daripada Ira berhubung penyebaran kenyataan itu.

Defendan-defendan menafikan bahawa mereka telah merakam dan menyebarkan keterangan Ira melalui aplikasi WhatsApp. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya