AGAK lama kita sudah tidak disajikan dengan rancangan realiti pencarian bakat baharu yang mencungkil kebolehan menjadi hos televisyen, wartawan penyiaran, penyampai berita atau juruhebah radio.
Jika diimbas, mungkin RTM adalah stesen TV terakhir yang mempelopori rancangan tersebut pada 2016, Ikon Siarawan.
Walaupun tidak segah seperti rancangan hiburan lain, namun tidak dinafikan produk yang dihasilkan daripada rancangan tersebut benar-benar berhasil dan berkualiti.
Buktinya, selepas tujuh tahun program tersebut bersiaran, finalis Ikon Siarawan musim ketiga, Syafik Shukri Abdul Jalil atau nama pentasnya, Syaff Shukri sudah berada di ‘bangku hadapan’ saluran berita Astro Awani.
Diberi kepercayaan menyampaikan berita utama bagi slot Awani 7.45 sejak 2021 merupakan peluang paling berharga dikecapi anak kelahiran Bintulu, Sarawak ini.
Kongsinya, dia juga diberikan peluang mengendalikan banyak program lain seperti Kini Trending, Rupawan AWANI, Buletin AWANI, AWANI Sarawak dan AWANI Borneo.
“Di Astro Awani, saya banyak diberi peluang bukan setakat menyampai berita, malah terlibat secara langsung dalam beberapa siri berita mutakhir dalam membicarakan soal politik di Malaysia serta isu-isu terkini.
“Malah kenangan paling manis ketika diberi tugasan menggalas tanggungjawab sebagai penyampai utama dalam siaran langsung keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022,” katanya.
Syaff yang banyak menerima tunjuk ajar daripada otai penyiaran seperti Suhaimi Sulaiman dan Shuhaimi Mohamed berkata, dia teruja selepas diberikan kepercayaan membuat liputan secara langsung dari Kapit semasa PRN Sarawak 2021.
“Selama sebulan saya berada di Kapit serta beberapa lokasi pedalaman lain di Sarawak bagi memahami aspirasi dan cerita masyarakat di sana.
“Daripada aspek pertuturan dan dialek, saya tidak menghadapi masalah begitu besar kerana memahami dan mampu bertutur dengan penduduk tempatan,” kongsinya yang menyertai Astro Awani sejak 2017.
PENGALAMAN KE KABUL
Satu demi satu pengalaman diraih buat anak bongsu daripada enam beradik ini. Katanya, pengalaman paling berharga apabila diberikan peluang membuat liputan berita di luar negara, Februari tahun lalu.
Sewaktu mengikuti misi bantuan Global Peace Mission Malaysia ke Kabul, Afghanistan, dia diiringi oleh jurubahasa bagi bertutur dengan penduduk tempatan yang berkomunikasi dalam bahasa Parsi.
“Waktu itu, pemimpin Taliban sudah mula berkuasa dan memimpin negara. Bila pergi ke negara yang susah dikunjungi ini, saya dapat saksikan sendiri bagaimana suasana kehidupan masyarakat di sana serta perspektif dunia Barat terhadap pemimpin Taliban.
“Pergerakan kami dikawal oleh tentera Taliban kerana tidak boleh bergerak bersendirian. Ini juga demi memastikan keselamatan ketika tempoh ketidaktentuan politik ketika itu,” jelasnya.
Hampir lima tahun menimba pengalaman di stesen berita paling dipercayai itu, Syaff kemudian melanjutkan pengajian Sarjana di University of Brighton, United Kingdom (UK), sejak September, tahun lalu.
“Ketika di UK, saya masih menyumbangkan berita kepada Astro Awani ketika Pilihan Raya Umum ke-15 dan pertabalan Raja Charles III.Sudah tentu impaknya begitu besar dan saya teruja kerana masih menyumbang laporan berita dari UK kepada rakyat Malaysia,” kata bekas penuntut UiTM ini.