KEPALA BATAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan lebih banyak badan swasta mewujudkan pusat jagaan warga emas dalam memenuhi keperluan sekali gus bagi menghadapi status negara tua pada 2030.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 393 pusat penjagaan warga emas di seluruh negara yang berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
Ujar beliau, jumlah itu dianggap masih rendah memandangkan ramai yang memerlukan dan mahu menggunakan perkhidmatan itu ketika ini.
“Pusat jagaan warga emas sudah wujud lama di bawah kelolalaan kerajaan, namun bagi anak-anak yang mempunyai kemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik akan memilih untuk menghantar ibu bapa mereka ke institusi penjagaan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Damai Permai, di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, Nancy memuji usaha pengurusan pusat jagaan terbabit yang menyediakan perkhidmatan penjagaan bulanan dan harian khusus buat warga emas dan golongan memerlukan.
“Berdasarkan pemantauan, saya rasa pusat ini antara yang terbaik dari segi kebersihan dan persekitaran selamat buat warga emas.
“Diharapkan ia dapat dijadikan modul bagi mana-mana pihak yang berminat untuk mewujudkan lebih banyak lagi pusat jagaan seumpama ini,” katanya. – UTUSAN