Sultan Perak hadiri istiadat sambutan Hari Pahlawan - Utusan Malaysia

Sultan Perak hadiri istiadat sambutan Hari Pahlawan

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah memeriksa kawalan kehormat utama pada majlis sambutan Hari Pahlawan 2023 peringkat negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis istiadat sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri yang diadakan di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Hadir sama, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis dan Panglima Briged Kedua Infantry Malaysia, Brigedier Jeneral Asri Shukor.

Majlis istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak, diikuti pemeriksaan kawalan kehormat oleh baginda yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen, Kem Sangro Taiping yang dipimpin oleh Mejar Muhiburrahman Khairulanuar dan dibantu oleh Leftenan Muhamad Zulfadzli Abdul Ghani dan Pegawai Waran 1, Mohamad Fairus Nizam Zabory.

Pegawai pembawa panji-panji adalah Leftenan Muhammad Afiq Aris dengan detasmen perhimpunan mengandungi seramai 400 pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang turut merangkumi veteran tentera serta pesara polis.

Manakala pancaragam yang mengiringi adalah Brass Band KD Pelanduk, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut seramai 44 orang di bawah pimpinan Leftenan Dya Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed.

Sebaik sahaja kawalan kehormat selesai, tiupan paluan akhir atau Last Post dimainkan dan Jalur Gemilang diturunkan.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh Mejar Mohd Risal Osman dari Markas 2 Briged Infantri Malaysia.

Ini diikuti deklamasi sajak bertajuk ‘Pahlawanku’ yang dideklamasikan oleh Kapten Sharifudin @ Abu Danial Abu Talib dari Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Tiupan Rouse kemudiannya dimainkan dan Jalur Gemilang kembali dinaikkan  diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan sebagai  penamat istiadat sambutan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN