Sultan Nazrin umum Lat sebagai Seniman Diraja - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin umum Lat sebagai Seniman Diraja

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah dan Lat melambai tangan dari tingkap Rumat Lat pada perasmian galeri kartunis itu di Batu Gajah. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengumumkan kartunis negara, Datuk Mohamad Nor Khalid atau Lat sebagai Seniman Diraja.

Baginda mengumumkan perkara itu pada perasmian Galeri Rumah Lat di sini hari ini.

“Mengiktiraf peranan dan sumbangan besar lagi bermakna Datuk Mohamad Nor Khalid memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa, dengan sukacitanya Beta mengumumkan beliau sebagai Seniman Diraja,” titah bagida.

Sultan Nazrin menyifatkan Lat sebagai seorang seniman yang dikurniakan Allah bakat sangat istimewa dan luar biasa.

Baginda bertitah, sumbangan dan penglibatan Lat dalam dunia kartun tanah air amat terserlah serta berjaya mengangkat dirinya sebagai tokoh kartunis yang cerdas, bersifat genius, serta memiliki identiti yang unggul.

Titah baginda, lakaran bersahaja melalui garapan pengalaman telah meletakkan karya-karya Lat di kelas tersendiri, melayakkan beliau dianugerahi dengan pelbagai penghargaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang turut mengharumkan nama negara.

“Karya-karya beliau menggambarkan pandangan dan analisis peribadinya terhadap pelbagai isu, menyentuh kehidupan rakyat jelata terdiri daripada pemandu bas, pemandu teksi, polis trafik, pegawai kastam, pegawai imigresen, doktor dan jururawat, hakim dan peguam, pilot dan pramugari, tokoh sukan, pemimpin agama, pemimpin politik dan pemimpin negara, menyentuh isu-isu lokal, nasional dan antarabangsa.

“Di sebalik karikatur lucu yang dikembari dengan dialog ringkas, terkandung falsafah, mesej-mesej yang serius, sindiran yang tajam, persoalan dan saranan, diolah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, tanpa mengundang konflik dan permusuhan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, melalui lakaran-lakaran yang santai dan bersahaja, Lat berjaya mengetengahkan pemerhatian yang tajam mengenai kehidupan masyarakat majmuk yang hidup dalam harmoni.

Titah baginda, karikatur Lat banyak menceritakan tentang apa yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa dan Lat melihat kepelbagaian tersebut sebagai aset dan khazanah berharga di negara ini.

“Lat memilih mengetengahkan elemen-elemen persamaan (common denominator) anggota masyarakat yang pelbagai itu; seperti kegembiraan majlis perkahwinan, kemeriahan hari kebesaran, alam sekolah, mengalami kesesakan jalan raya, menikmati makanan di restoran dan pelbagai lagi.

“Karyanya membawa mesej jelas bahawa rakyat yang pelbagai itu sebenarnya memiliki naluri asas mahu hidup secara aman dan harmoni dalam semangat saling hormat-menghormati, rakyat yang pelbagai itu pada asasnya tidak berprasangka buruk antara satu sama lain hanya kerana berlainan kaum, fahaman agama, amalan budaya dan penguasaan bahasa,” titah baginda.

Mengenai Galeri Rumah Lat, Sultan Nazrin bertitah, pembukaannya yang memakan masa yang panjang bukan sahaja kepada Lat dan keluarga tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Titah baginda, Galeri Rumah Lat mengabadikan hasil seni dan karya Lat, kartunis terulung di negara ini dan pengamatannya tentang kehidupan yang berwarna-warni dijelmakan melalui beberapa karya popular seperti Kampung Boy dan Town Boy dan kedua-dua karya ini merupakan antara contoh penelitian yang terperinci mengenai kehidupan di desa dan di bandar yang meliputi pelbagai isu.

“Galeri Rumah Lat’ mempamerkan sejarah hidup, liku-liku perjalanan seorang anak seni, merakamkan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang dicapai oleh seorang ‘kampung boy’ yang berhijrah menjadi ‘town boy’ dan kini bertaraf seniman ternama di peringkat antarabangsa tetapi Lat kekal dengan sifat rendah diri seorang anak kampung, laksana padi, semakin berisi semakin tunduk. Semoga Allah mengurniakan Lat sebaik-baik kesihatan dan usia untuk terus berkarya.

Sultan Nazrin bertitah, semoga khazanah yang dipamerkan di galeri itu akan menjadi sumber inspirasi kepada rakyat terutama anak muda Malaysia.

“Legasi seniman agung ini harus diperturunkan kepada generasi muda sebagai pewaris seterusnya dan galeri ini menjadi sumber khazanah yang amat bernilai buat rakyat.

“Semoga Galeri Rumah Lat kekal sebagai satu simbol pencapaian hebat seorang seniman yang Allah telah mengurniakan bakat tersangat istimewa dan luar biasa,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya