KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa bimbang dengan sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dan bermusuhan disebabkan perbezaan fahaman politik kepartian yang berisiko menggugat keamanan di negeri ini.
Baginda bertitah, Malaysia dan Terengganu secara umumnya mempunyai masyarakat berbilang agama, kaum, budaya dan bangsa.
“Dengan kepelbagaian yang unik ini, Beta menyeru supaya seluruh rakyat jelata sama ada yang beragama Islam dan bukan Islam di dalam negeri Terengganu supaya saling hormat-menghormati atas perbezaan dan kepelbagaian ini.
“Selain itu, semua pihak perlu menjaga keharmonian dan perpaduan dengan tidak menimbulkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa yang kesannya akan menyebabkan perpaduan dalam kalangan rakyat jelata semakin jauh.
“Beta juga suka mengingatkan, sebagai umat Islam, kita perlulah menunjukkan contoh yang terbaik kepada masyarakat bukan Islam dengan menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai pengajaran dalam menjalani kehidupan bermasyarakat di muka bumi ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H/2023M Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pada majlis itu, Sultan Mizan berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima, termasuk Anugerah Tokoh Dakwah Maal Hijrah 1441H/2019M peringkat Terengganu kepada pendakwah bebas, Wan Junaidi Wan Jaafar.
Bagaimanapun tiada pemenang bagi anugerah utama iaitu Tokoh Maal Hijrah Terengganu pada tahun ini atas faktor kelayakan.
Dalam pada itu Sultan Mizan bertitah, semua anggota masyarakat wajib tolong-menolong antara satu sama lain atas prinsip perpaduan umat manusia yang merupakan satu keluarga besar walaupun terdiri daripada kepelbagaian latar belakang, suku, bangsa dan agama.
“Beta mendoakan agar Terengganu mempunyai masyarakat yang mengutamakan kerukunan, kedamaian dan kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup yang mendatang dan akhirnya melahirkan umat Islam yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT,” titah baginda. – UTUSAN