PRN Selangor: Suee Lim tanding DUN Sekinchan, dicadang jadi Exco - Utusan Malaysia

PRN Selangor: Suee Lim tanding DUN Sekinchan, dicadang jadi Exco

Sekinchan
ANTHONY Loke Siew Fook mengangkat tangan Ng Suee Lim selepas mengumumkan bekas Speaker DUN Selangor itu sebagai calon PH bagi DUN Sekinchan pada Jamuan Makan DAP Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: DAP mengumumkan calon pertama mereka dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ng Suee Lim yang akan memperjuangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan disandangnya kali kelima.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, dalam ceramahnya pada Jamuan Makan DAP Sekinchan malam tadi yang menyatakan prestasi Naib Pengerusi DAP Selangor itu menyebabkan beliau dicalonkan sekali lagi mewakili PH.

Suee Lim yang juga Penolong Setiausaha Organisasi DAP berkata, beliau bersedia memasuki DUN bagi penggal kelima walaupun pernah kalah sekali ketika kali pertama menyertai pilihan raya pada 1999 di kawasan sama.

“Selama pengalaman saya di Selangor, kali pertama bertanding amat sukar kerana DAP dalam keadaan paling lemah, sehingga pada ketika itu tak ada orang sanggup jadi calon sebab DAP lemah, BN-MCA terlalu kuat pada ketika itu, bertanding dan saya kalah.

“Tetapi saya tak lari, saya balik ke Sekinchan dan saya buat kerja, pada 2004 saya bertanding lagi, akhirnya diberi mandat oleh rakyat di sana saya menang dengan 344 undi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, malam tadi.

Terdahulu, Anthony Loke dalam ucapannya memaklumkan Suee Lim juga akan dicadangkan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berdasarkan kecemerlangannya sepanjang menjadi ADUN.

“Saya nyatakan Suee Lim sudah empat penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, pelbagai peranan beliau mainkan, pernah jadi pembangkang, backbencher, speaker hanya satu lagi belum.

“Jadi, saya mohon rakan-rakan di Sekinchan sokong beliau sebagai ADUN, wakil rakyat, sekiranya kita sekali lagi berjaya menubuhkan kerajaan di Selangor, DAP akan mencadangkan Suee Lim sebagai salah seorang ahli MMKN.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dalam ucapannya pada majlis sama memaklumkan PRN kali ini amat penting kerana menjadi indikator kepada kedudukan dan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

“Kita kena faham, PRN ini adalah pilihan raya di mana kita akan tunjukkan sama ada kita puas hati atau tidak dengan Kerajaan Perpaduan, ia menjadi referendum kepada pentadbiran di Putrajaya.

“Kita mesti menang untuk memberikan isyarat kepada pihak lawan, beritahu mereka Kerajaan Perpaduan mesti dikekalkan. Kita kena tunjukkan keluar beramai-ramai, kita kena pastikan kemenangan yang kukuh,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya