Sue-On bukan tumpang populariti Mamat Khalid - Utusan Malaysia

Sue-On bukan tumpang populariti Mamat Khalid

AWIE ditemui selepas Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Sue-On di sebuah pawagam di Petaling Jaya, minggu lalu.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN soal menumpang populariti mahupun menciplak idea pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid dalam menerbitkan filem seram komedi pertama berjudul Sue-On oleh penerbit, Datuk Awie, 54.  

Sebaliknya, filem yang diterbitkan oleh Rumah Produksi Merah milik Awie adalah satu bentuk penghargaan terhadap arwah yang banyak menghasilkan naskhah yang begitu dekat dengan jiwa masyarakat. 

Malah, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, dia juga sudah meminta ‘restu’ daripada Mamat yang merupakan mentornya dalam bidang perfileman sebelum sesi penggambaran. 

“Kita mahu meneruskan legasi arwah yang banyak menghasilkan cerita-cerita rakyat yang begitu santai dan sangat disukai ramai. 

“Sebelum filem ini dihasilkan, pengarah (Razif Ajiboy Rashid) sendiri menghubungi Mamat yang tidak sihat ketika itu. Kita minta kebenaran sebagai tanda hormat kepada arwah yang saya sudah anggap seperti seorang abang dan guru. 

“Hendak jadikan cerita, arwah meninggal dunia semasa sesi penggambaran. Kita tidak mahu orang ramai bercakap ‘menumpang’ atau ‘meniru’ filem arwah. Tidak. Kalau tonton drama sekarang, banyak karya yang dihasilkan hampir sama, sama ada berhasil atau sebaliknya,” katanya.    

Pada masa sama, Awie berkata, Sue-On yang menjalani penggambaran di Taiping, Perak, adalah hadiah buat penonton yang merindui watak-watak dalam francais filem sentuhan Mamat.   

Kongsinya, arwah adalah individu bertanggungjawab yang memecahkan karakter rockers dirinya kepada seorang watak bernama Husin. 

“Watak itu sudah berbelas tahun dan sebati dengan diri saya, Bukannya saya ganggu mana-mana watak lain. 

“Cerita ini menggunakan dialek Perak. Kalau berlakon di Kelantan sudah tentu tidak kena. Kita memang mahu suasana kampung sebegitu yang hanya ada di Taiping dan Kuala Kangsar. Tiada di tempat lain,” katanya.   

Untuk rekod, Awie pernah memegang watak Husin menerusi lapan filem ciptaan Mamat iaitu Zombi Kampong Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, Zombi Kilang Biskut, Hantu Kak Limah, Kampong Pisang Bersiri-Siri dan Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa. 

INSPIRASI FILEM SERAM JEPUN 

Mengambil inspirasi daripada sebuah filem seram Jepun, kata Awie, Sue-On adalah sebuah filem yang cukup santai dan sarat dengan elemen komedi yang menghiburkan. 

Sebagai penerbit, Awie juga meletakkan harapan tinggi agar filem yang menjalani penggambaran sejak 2021 serta berdepan cabaran pandemik Covid-19 ketika itu dapat menambat hati penonton. 

“Asalnya, saya hendak buat supertele. Namun, selepas melihat hasil suntingan termasuk kesan bunyi, saya putuskan untuk jadikan terus ia sebagai filem. Sebabnya, semua kelengkapan filem digunakan semasa sesi penggambaran. 

“Kita buat filem ini semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kalau seorang kru dijangkiti Covid-19 penggambaran terpaksa ditangguhkan, jadi sudah tentu kos akan bertambah. 

“Alhamdulillah, syukur tiada mana-mana kru yang kena Covid-19. Namun, PKP menyebabkan kita terpaksa tangguh penggambaran filem ini terlalu lama sedangkan susunan artis dan skrip semuanya sudah okey. Bila penggambaran boleh dibuat kita terus berkampung selama tiga minggu di Taiping,” kongsinya.  

Menampilkan barisan pelakon dan pelawak otai seperti Azlee Senario, Ropie, Reen Rahim, Nazia Mustafar, Achey, Joey Daud, Erra Fazira termasuk Awie sendiri, filem pertama terbitan vokalis kumpulan Wings ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara, bermula 6 Julai ini.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya