Subsidi bersasar, kerajaan beri masa pembekal sedia ada bersedia - Utusan Malaysia

Subsidi bersasar, kerajaan beri masa pembekal sedia ada bersedia

SALAHUDDIN Ayub bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara di Kampung Alor Senjaya, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemain industri yang terlibat dalam pembekalan minyak masak paket bersubsidi diminta bersedia untuk merancang pelan perniagaan berikutan pelaksanaan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan beberapa tahun lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana kuota minyak masak bersubsidi yang berjumlah 60,000 tan sebulan ketika ini dijangka berkurangan apabila subsidi bersasar dikuat kuasa.

Katanya, perkara itu mungkin berlaku dalam tempoh paling awal dua tahun lagi memandangkan kerajaan sedang menunggu data lebih komprehensif disiapkan Pangkalan Data Utama (PADU) dalam usaha mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan kepada golongan memerlukan.

“Mahu tak mahu, kerajaan terpaksa melaksanakan sistem subsidi bersasar bagi memastikan bantuan serta subsidi diberikan, sampai kepada golongan yang tepat.

“Pemberian subsidi bersasar ini mungkin melibatkan barangan yang memerlukan perbelanjaan lebih besar di pihak kerajaan terlebih dulu seperti diesel atau petrol tetapi minyak masak juga tidak akan terkecuali nanti.

“Dan apabila perkara itu dilaksanakan, sudah tentu kuota minyak masak bersubsidi yang kini jumlahnya 60,000 metrik tan sebulan akan berkurangan. Jadi pemain industri perlu bersedia memikirkan pelan perniagaan mereka dan tidak terlalu berpuas hati dengan apa yang mereka ada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara di Kampung Alor Senjaya di sini hari ini.

Salahuddin berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengurangkan kuota tersebut secara mengejut bagi memastikan semua pihak dapat membuat persediaan mencukupi daripada segala aspek.

“Kita tak akan merenggut secara drastik, kerajaan akan beri masa secukupnya. Semua pihak harus sedar hal ini berlaku kepada semua industri di seluruh dunia dan mereka harus berinovasi serta kreatif dalam menampilkan pelan perniagaan pada masa akan datang.

“Dalam masa sama kerajaan juga akan membantu. Sebagai contoh mereka yang tinggal di negeri-negeri berdekatan sempadan mungkin boleh menyertai program ekonomi sempadan yang akan dibangunkan bagi memberi lebih manfaat kepada penduduk tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya