Suami isteri sebak, syukur terlepas hukuman gantung - Utusan Malaysia

Suami isteri sebak, syukur terlepas hukuman gantung

MUHAMMAD Yasmi Mohammad Yasin (tengah) dan isteri, Rossuhili Ikhsan (kiri) terlepas hukuman mati di tali gantung selepas Mahkamah Tinggi Ipoh melepaskan dan membebaskan mereka hari ini daripada tuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sepasang suami isteri sebak dan menitiskan air mata kesyukuran selepas terlepas hukuman mati di tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan demikian terhadap Muhammad Yasmi Mohammad Yasin, 48, dan isteri, Rossuhili Ikhsan, 47, selepas pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit didakwa mengedar dadah berbahaya dengan berat 19.90 gram iaitu 10.9 gram heroin dan 9.0 gram monoacetyimorphines.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Melati Kampung Sri Klebang, Chemor dalam daerah Kinta pada pukul 7 malam, 27 September 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berpendapat, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan intipati pemilikan kedua-dua tertuduh secara bersama terhadap dadah yang dirampas.

Sehubungan itu katanya, pihak pendakwaan juga tidak dapat lagi mengaktifkan anggapan pengedaran di bawah Seksyen 37 (da) Akta 234.

“Tiada juga keterangan yang menunjukkan penglibatan secara langsung atau apa-apa tindakan tertuduh yang boleh disimpulkan sebagai pengedaran seperti mana yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta 234.

“Sehingga pihak pendakwaan menutup kes pendakwaan, tidak ada keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk menolak atau menyangkal pembelaan kedua-dua tertuduh.

“Berdasarkan kepada dapatan dan berlandaskan prinsip undang serta penilaian maksimum ke atas keseluruhan keterangan pihak-pihak pendakwaan termasuk exsibit yang dikemukakan, adalah tidak selamat untuk saya memanggil tertuduh untuk membela diri atas pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie dan kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta 234,” katanya.

Seramai enam saksi pendakwaan dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saifulakmal Mod Said manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam, Mohamad Hafiz Jalaludin.

Mengikut fakta kes, serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu telah menemui sebungkus plastik berwarna hitam di atas lantai rumah.

Turut dirampas alat penimbang digital, satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi plastik-plastik lutsinar kosong, tiga anak kunci, bil elektrik dan baju milik kedua-dua tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya