Suami isteri maut selepas hantar anak daftar Kolej Matrikulasi Perak - Utusan Malaysia

Suami isteri maut selepas hantar anak daftar Kolej Matrikulasi Perak

KEADAAN kereta yang terbabas menyebabkan sepasang suami isteri maut dalam kejadian di Kilometer 3.5, Jalan Gopeng-Kota Bharu di Gopeng hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Sepasang suami isteri maut setelah kereta jenis Proton Perdana yang dipandu ibu mereka hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 3.5, Jalan Gopeng-Kota Bharu di sini petang tadi.

Kejadian sekitar pukul 5.20 petang itu mengorbankan Mohd. Ramddan Abd. Rahim, 44, dan isteri, Kisdalliana Saad, 43, di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ibu Kisdalliana berusia 63 tahun yang juga pemandu kereta Proton Perdana dan anak perempuan pasangan yang maut itu yang berusia tujuh tahun cedera parah.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu baru mendaftar masuk anak mereka ke Kolej Matrikulasi Perak di sini dan keluar membeli barangan keperluan di Pekan Gopeng sebelum terbabit kemalangan ketika mahu menghantar barang yang dibeli.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kemalangan berlaku di kawasan kilang memproses tayar terpakai di mana kenderaan dinaiki mangsa dari arah Gopeng menuju ke Kota Bharu.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati, sebuah kereta terbabas sendiri dengan kenderaan itu berada di atas pagar.

“Mayat suami isteri itu yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta berada berhampiran kenderaan. Difahamkan, kedua-dua mayat telah dialihkan oleh pihak bomba.

“Dua mangsa yang cedera parah di kepala dihantar Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan kecemasan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, kemalangan berlaku di jalan lurus dan berturap dengan satu lorong dua hala serta garisan putih panjang berkembar.

Katanya, ketika kejadian jalan kering dengan cuaca baik dan lalu lintas juga tidak sibuk.

“Mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dibantu BBP Kampar bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati mangsa lelaki tersepit di bahagian penumpang dan disahkan maut oleh petugas perubatan.

“Tiga lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak telah pun dikeluarkan oleh orang awam. Seorang daripada mereka disahkan telah meninggal dunia.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit segera dijalankan dengan menggunakan peralatan menyelamat. Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya