Suami isteri dalang edar dadah diberkas - Utusan Malaysia

Suami isteri dalang edar dadah diberkas

DADAH yang dirampas selepas menahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri di hadapan sebuah rumah di Jelapang, Ipoh pada Ahad lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pemandu lori bersama isteri dan adik iparnya ditahan selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

Ketiga-tiga suspek berusia 19 hingga 27 tahun itu diberkas di hadapan sebuah rumah di Jelapang pada pukul 3 petang, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan ke atas suspek itu membawa kepada rampasan dadah jenis heroin seberat 10,713 gram dianggarkan bernilai RM88,917.90 yang dijumpai di dalam kereta.

Katanya, turut dirampas ialah peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah berkenaan.

“Berdasarkan ujian saringan air kencing, pasangan suami isteri itu didapati positif dadah jenis morfin dengan lelaki terbabit turut memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah.

“Siasatan juga mendapati, suspek aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak September tahun lalu dan dadah diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Dianggarkan, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 15,000 orang penagih dadah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan 22 unit barang kemas bernilai RM82,668 selain sebuah lori, sebuah motosikal dan sebuah kereta dengan nilai keseluruhan rampasan kenderaan berjumlah RM109,500.

Katanya, suspek lelaki bekerja sebagai pemandu lori manakala isteri dan adik ipar perempuan yang tinggal serumah tidak mempunyai apa-apa pekerjaan.

“Pasangan suami isteri itu direman enam hari manakala seorang lagi suspek pula ditahan reman selama tiga hari bermula semalam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya